MELAKA, 15 OGOS: Isu pembelaan hak masyarakat Orang Asal, penetapan calon pilihan raya lebih awal serta strategi mendekati golongan muda menerusi platform digital antara tumpuan utama perwakilan pada Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) 2026 hari ini.
Perwakilan daripada Biro Orang Asal KEADILAN, Hazli Rani berkata KEADILAN perlu mendampingi masyarakat Orang Asli secara berterusan dan bukan hanya ketika pilihan raya, termasuk melibatkan mereka dalam struktur serta kepimpinan parti.
Beliau berkata usaha itu penting bagi membina kepercayaan dan memastikan masyarakat berkenaan menjadi sebahagian daripada kekuatan politik parti.
“Kita mahu Orang Asli menjadi sebahagian daripada kekuatan politik KEADILAN, bukan sekadar pengundi untuk mendapat undi,” katanya pada sesi pembentangan usul kongres itu di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini hari ini.
Sementara itu, perwakilan Wilayah Persekutuan, Datuk Afdlin Shauki mengemukakan cadangan supaya ketua-ketua Cabang dinamakan sebagai calon Pilihan Raya Umum (PRU) bagi membolehkan mereka memulakan kerja mendekati rakyat lebih awal.
“Usul saya ini agak radikal iaitu namakan ketua-ketua Cabang sebagai calon PRU. Kita namakan mereka dahulu sebagai calon supaya boleh buat kerja... dapat kepercayaan rakyat dan mungkin bantuan daripada negeri-negeri.
“Langkah itu boleh dinilai semula sekiranya ketua Cabang berkenaan gagal melaksanakan tanggungjawab dalam tempoh setahun atau lebih sebelum PRU. Komunikasi parti dengan rakyat tidak seharusnya hanya bermula menjelang pilihan raya, sebaliknya perlu dibina secara berterusan bagi mewujudkan kepercayaan,” katanya.
Dalam pada itu, perwakilan Melaka, Muhammad Hakimin Mokhtar berkata KEADILAN tidak boleh lagi bergantung kepada pendekatan politik konvensional, sebaliknya perlu mendekati anak muda menerusi platform digital yang menjadi ruang utama mereka mendapatkan maklumat dan membentuk persepsi.
Beliau berkata parti perlu berani menerima kritikan dan teguran anak muda, bukan sekadar mendengar pujian kerana pandangan itu boleh menjadi peringatan awal untuk memperbaiki kelemahan sebelum rakyat membuat keputusan dalam pilihan raya.
“Jika kenyataan media kita sepanjang tiga muka surat tidak dibaca oleh anak muda, jangan cepat menyalahkan mereka. Kita yang perlu bertanya kepada diri sendiri, adakah bahasa politik kita masih relevan dengan mereka,” katanya.
Muhammad Hakimin yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan Melaka berkata KEADILAN perlu menyesuaikan kaedah penyampaian dengan kehendak generasi muda yang lebih cenderung kepada kandungan pantas, visual, padat dan mudah difahami tanpa mengorbankan prinsip perjuangan parti.
Parti juga perlu melihat isu anak muda melangkaui soal mendapatkan undi, termasuk memastikan mereka bersedia menghadapi ekonomi dan pekerjaan masa depan melalui penguasaan kemahiran seperti kecerdasan buatan (AI), analitik data, automasi dan keselamatan siber.
Beliau turut mengingatkan bahawa tindakan pantas amat penting dalam menghadapi fitnah, manipulasi, deepfake atau palsu asli dan maklumat palsu melalui ruang digital.
“Jika kita tidak memenuhi ruang digital dengan fakta dan kebenaran, pihak lawan akan memenuhinya dengan persepsi, emosi dan fitnah,” katanya.







