Helikopter terbakar: Semua penerbangan di LTSAAS ditangguhkan, landasan ditutup

15 Ogos 2026, 7:53 AM
Helikopter terbakar: Semua penerbangan di LTSAAS ditangguhkan, landasan ditutup

SHAH ALAM, 15 OGOS: Landasan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang ditutup dan semua penerbangan ditangguhkan sehingga diberitahu kelak susulan kebakaran sebuah helikopter, tengah hari tadi.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) turut menasihatkan penumpang supaya menghubungi syarikat penerbangan masing-masing bagi mendapatkan maklumat lanjut.

"Semua penerbangan keluar dan masuk di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang ditangguhkan sehingga diberitahu kelak.

"Penumpang dinasihatkan menghubungi syarikat penerbangan masing-masing," katanya dalam kenyataan hari ini.

CAAM mengesahkan insiden itu membabitkan helikopter Kamov Ka-32S bernombor pendaftaran Ukraine, UR-CIT.

Menurutnya, kebakaran berlaku kira-kira jam 12.28 tengah hari ketika helikopter berkenaan menjalani pengujian enjin di darat sebagai sebahagian daripada aktiviti penyelenggaraan.

"Insiden ini akan disiasat Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) di bawah Kementerian Pengangkutan (MOT).

"Siasatan akan dijalankan mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016," katanya.

Terdahulu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 12.30 tengah hari sebelum jentera tiba di lokasi empat minit kemudian.

Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata empat individu berjaya menyelamatkan diri ketika kebakaran berlaku.

Berdasarkan maklumat awal Pasukan Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang (AFRS), kesemua mangsa terdiri daripada seorang juruterbang, pembantu juruterbang dan dua kru lelaki warga Ukraine.

Seorang daripada mereka dilaporkan cedera terkena serpihan ketika berada di luar helikopter.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.