MELAKA, 15 OGOS: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyangkal tuduhan pihak tertentu bahawa Kerajaan MADANI menganaktirikan beberapa negeri.
Sebaliknya, beliau menegaskan peruntukan kepada setiap negeri, berbeza berdasarkan keutamaan dan semakin meningkat di bawah pentadbirannya.
“Perbelanjaan untuk Sabah itu, sejak kita ambil alih kerajaan dalam tiga tahun (telah) naik (sebanyak) 35 peratus. Sebelum ini beberapa tahun sebelum itu, adakah kerajaan negeri suarakan? tidak...Sabah, Sarawak, Kedah dan Kelantan peruntukan itu meningkat secara keseluruhan.
“Terengganu daripada RM6 bilion (pada 2022) naik (kepada) RM8.1 bilion (tahun ini), (sama juga) Perlis, Johor dan lain-lain. Johor daripada RM10.2 bilion (pada 2022) naik kepada RM14.6 bilion (pada 2026),” katanya ketika meyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Kongres Nasional PKR 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini hari ini.
Anwar berkata selain itu, peruntukan Persekutuan kepada Sabah naik 35 peratus daripada RM13 bilion pada 2022 kepada RM17.6 bilion pada 2026, Sarawak daripada RM10.2 bilion pada 2022 kepada RM15.1 bilion iaitu kenaikan sebanyak 48 peratus.
Perdana Menteri berkata peruntukan untuk Kedah meningkat sebanyak 27 peratus daripada RM7.7 bilion pada 2022 kepada RM9.8 bilion pada tahun ini, Kelantan menerima kenaikan sebanyak 47 peratus daripada RM6.6 bilion pada 2022 kepada RM9.7 bilion pada 2026 dan Perlis daripada RM1.7 bilion kepada RM2.3 bilion pada tahun ini, kenaikan sebanyak 35 peratus.
Untuk Selangor, peningkatan sebanyak 30 peratus daripada RM9.4 bilion pada 2022, ia meningkat kepada RM12.2 bilion tahun ini, Pahang pula meningkat sebanyak 41 peratus daripada RM7.5 bilion pada 2022 kepada RM10.6 bilion.
Peruntukan Persekutuan kepada Perak pula sebanyak RM10.4 bilion tahun ini berbanding RM8.2 bilion pada 2022, peningkatan sebanyak 27 peratus, sementara Pulau Pinang diperuntukkan sebanyak RM5 bilion pada 2022, meningkat sebanyak 56 peratus kepada RM7.8 bilion pada tahun ini.
Negeri Sembilan pula meningkat daripada RM4.4 bilion pada 2022 kepada RM6 bilion dengan kenaikan sebanyak 36 peratus, manakala Melaka pula peningkatan sebanyak 38 peratus kepada RM5.1 bilion pada tahun ini berbanding RM3.7 bilion pada 2022.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan mahu penyampaian maklumat dan komunikasi kerajaan dipertingkat, bagi menangkis naratif dimainkan pembangkang bertujuan memberi persepsi negatif terhadap kerajaan.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata Kerajaan MADANI telah melaksanakan pelbagai reformasi, sekali gus menyaksikan indeks daya saing negara merekodkan kedudukan yang baik.
Beliau berkata daripada kedudukan ke-34 pada 2024, indeks daya saing negara ini berada pada kedudukan ke-15 pada tahun ini, sekali gus mencatatkan kedudukan terbaik sejak 2015.
Kongres Nasional PKR 2026 turut dihadiri Timbalan Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Seri Mohamad Sabu, Bendahari DAP Ngeh Koo Ham dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Hajiji Noor.







