SUKMA 2026: Selangor jinakkan juara bertahan Wilayah Persekutuan 3-1

15 Ogos 2026, 12:00 AM
SUKMA 2026: Selangor jinakkan juara bertahan Wilayah Persekutuan 3-1

PETALING JAYA, 15 OGOS: Skuad bola sepak lelaki Selangor membuka kempen Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 dengan langkah kanan selepas menewaskan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 3-1 dalam aksi Kumpulan C, hari ini.

Beraksi di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, Wilayah Persekutuan bermula garang dan nyaris membuka jaringan seawal minit kedua, namun percubaan mereka berjaya dinafikan penjaga gol Selangor.

Kedua-dua pasukan kemudian saling berbalas serangan sebelum Selangor memecah kebuntuan pada minit ke-31 menerusi Rohisyam Haiqal Hashim yang menanduk masuk bola hasil sepakan percuma dari luar kotak penalti.

Tiga minit kemudian, Selangor memperoleh sepakan penalti selepas pertahanan Wilayah Persekutuan melakukan kekasaran terhadap penyerang tuan rumah.

Mohamad Haykal Danish tenang menyempurnakan sepakan berkenaan untuk menewaskan penjaga gol Wilayah Persekutuan Hazriq Haqqim, sekali gus meletakkan Selangor 2-0 di hadapan.

Pemain Selangor meraikan jaringan ketika menewaskan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 3-1 dalam aksi Kumpulan C bola sepak lelaki SUKMA 2026 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada 14 Ogos 2026. Foto NAJAMUDDIN MOHD NOR/MEDIA SELANGOR

Memasuki babak kedua, Wilayah Persekutuan yang juga juara bertahan bangkit mengasak kubu Selangor dengan serangan bertali arus dalam usaha merapatkan kedudukan.

Selepas sekadar seri 0-0 menentang Kedah dalam aksi pertama, Wilayah Persekutuan kini berdepan misi getir apabila kekalahan kepada Selangor akan menyukarkan impian mereka melangkah ke suku akhir.

Usaha mereka membuahkan hasil pada minit ke-68 apabila pemain gantian, Muhammad Ariff Aiman menyudahkan gerakan serangan untuk merapatkan kedudukan 1-2.

Jaringan itu menyuntik semangat Wilayah Persekutuan untuk memburu gol penyamaan, namun Selangor kembali mengukuhkan kedudukan menerusi Mohamad Zarul Aidid pada minit ke-80.

Gol tersebut memastikan Selangor menamatkan perlawanan dengan kemenangan 3-1, sekali gus mengutip tiga mata dalam aksi pembukaan Kumpulan C.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.