
SHAH ALAM, 14 OGOS: Tuah tidak menyebelahi pasukan polo air wanita Selangor apabila tewas tipis 9-10 kepada Sarawak dalam aksi SUKMA ke-22, di Pusat Akuatik Selangor, hari ini.
Meskipun bangkit menyerang habis-habisan pada suku keempat, gol penyamaan yang dicari tidak kesampaian apabila Selangor terpaksa akur dengan kekalahan tipis berkenaan.
Jurulatih Selangor, Sarah Ann Thorp berkata, anak buahnya telah berusaha sebaik mungkin dan mempamerkan aksi yang baik, terutama ketika memburu gol penyamaan.
“Pemain telah bermain dengan baik kecuali keputusan perlawanan yang tidak menyebelahi kami. Hanya dibezakan satu gol tetapi setiap pemain telah menunjukkan usaha sebaik mungkin.
“Saya tetap bangga dengan pemain saya, kecuali keputusan perlawanan ini,” katanya kepada Media Selangor sejurus perlawanan berakhir.
Sementara itu, Ketua Pasukan Polo Air Wanita Selangor, Lim Syn Roo berkata, dia bersama rakan sepasukan telah memberikan sepenuh tenaga untuk menewaskan Sarawak, namun tuah tidak berpihak kepada mereka.
“Saya fikir kami telah bermain dengan baik secara berpasukan mahupun individu. Kita akan perbaiki permainan untuk perlawanan seterusnya.
“Kita akan lakukan yang terbaik untuk mara ke final dan mendapatkan pingat emas,” katanya.
Kekalahan itu bagaimanapun tidak seharusnya mematahkan semangat Selangor untuk meneruskan cabaran memandangkan perlawanan berkenaan berlangsung di peringkat kumpulan.
Anak buah Sarah Ann Thorp perlu segera melupakan kekalahan tersebut, bangkit dan memberikan aksi terbaik dalam perlawanan seterusnya bagi memastikan misi mara ke final serta memburu emas polo air wanita Selangor terus bernyawa.







