
BANGI, 14 OGOS: Skuad silat seni Selangor menyasarkan sekurang-kurangnya satu pingat emas pada Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, dengan acara Regu Putera menjadi sandaran utama kontinjen negeri.
Ketua Jurulatihnya Habizan Othman berkata penyertaan pada SUKMA kali ini turut dijadikan medan memberikan pendedahan kepada barisan atlet muda sebelum mereka melangkah ke pentas pertandingan yang lebih tinggi.

Acara pencak silat membuka gelanggang dengan enam acara Silat Seni dipertandingkan membabitkan kategori tunggal dan regu di Dewan Seri Sarjana, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).
Menurut Habizan, Regu Putera menjadi harapan utama untuk menghadiahkan emas kepada Kontinjen Selangor selepas skuad itu tewas kepada Sarawak dengan perbezaan hanya satu mata pada temasya lalu.
“Sasaran utama adalah satu emas, jika dapat dua itu adalah bonus kerana kali ini rata-rata adalah muka baharu.
“Emas yang saya sasarkan adalah daripada Regu Putera kerana sebelum ini mereka hanya tewas dengan satu mata dan kali ini kita akan bertemu sekali lagi,” katanya kepada Media Selangor.
Beliau berkata, peluang meraih emas dalam acara individu turut terbuka, namun pihaknya menganggap sebarang pingat yang diraih sebagai bonus memandangkan skuad kali ini dibarisi ramai atlet baharu.
“Bagi acara individu, kami menganggap ia bonus jika berjaya mendapat pingat emas,” katanya.
Dalam pada itu, Habizan mengakui status Selangor sebagai tuan rumah sedikit sebanyak memberi tekanan kepada atlet, namun yakin anak buahnya mampu mengawal keadaan dan memberikan persembahan terbaik.
“Mustahil tidak ada tekanan, lebih-lebih lagi sebagai tuan rumah, tetapi saya telah yakinkan atlet-atlet dan mereka bersedia untuk memberikan aksi yang terbaik buat Selangor,” katanya.
Skuad silat seni Selangor menjalani persiapan dan latihan selama hampir dua tahun sebagai persediaan menghadapi SUKMA 2026.
Habizan berharap segala usaha yang dilakukan membuahkan hasil, dengan sekurang-kurangnya satu pingat emas dapat disumbangkan kepada Kontinjen Selangor dalam misi memburu kejuaraan keseluruhan temasya kali ini.








