SUKMA 2026: Siapa bintang baharu bakal dilahirkan?

14 Ogos 2026, 1:34 AM
SUKMA 2026: Siapa bintang baharu bakal dilahirkan?

KUALA LUMPUR, 14 OGOS: Selepas berakhirnya temasya Sukan Komanwel Glasgow 2026 di Scotland, baru-baru ini, tumpuan peminat sukan tanah air beralih kepada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor pada 15 hingga 24 Ogos ini.

Bukan sahaja 468 pingat emas dari 37 jenis sukan menjadi tumpuan lebih 5,000 atlet, malah tradisi SUKMA diteruskan dalam mencungkil, membina dan melahirkan lebih ramai bakat sukan muda yang mampu melangkah jauh pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Selaku tuan rumah, situasi itu bukan sahaja memberikan kelebihan buat Selangor, malah sorakan padu penyokong mampu mencetuskan inspirasi memburu kejayaan untuk muncul juara.

Selangor menyasarkan sekurang-kurangnya merangkul 80 pingat emas daripada kesemua jenis sukan disertai yang ditunjangi 1,029 anggota terdiri daripada 838 atlet dan 191 pegawai pasukan.

Bagaimanapun, tuan rumah tidak boleh memandang enteng keupayaan juara empat kali Sarawak, yang menetapkan misi mempertahankan kejuaraan dimenangi ketika menganjurkan temasya sukan itu pada edisi lepas dengan meletakkan sasaran memenangi 75 emas.

Selain itu, juara dua kali Wilayah Persekutuan juga dijangka memberikan cabaran dalam kelompok tiga teratas untuk SUKMA kali ini, dengan sasaran 180 pingat tanpa mengira warna.

Dalam pada itu, SUKMA 2026 bakal menampilkan bintang masa depan sukan negara, antaranya pemenang pingat gangsa 100 meter (m) lelaki Sukan SEA Thailand 2025 Danish Iftikhar Muhammad Roslee, yang menjadi atlet tumpuan dan sandaran utama Johor bagi merangkul emas acara riben biru itu di Selangor.

Pencapaian meraih tempat keempat acara 110m berpagar lelaki pada Kejohanan Olahraga Bawah 23 Tahun Asia di China bulan lepas menyaksikan Mohamad Armin Zahryl Abd Latif dari Terengganu muncul calon utama mengungguli saingan itu.

Lebih menarik, Mohamad Armin yang juga juara Terbuka Singapura, April lepas mencipta sensasi dengan memadam rekod kebangsaan 13.67 saat (s) milik Rayzam Shah Wan Sofian yang dilakar pada 2017 menerusi catatan baharu 13.63s pada saringan pertama kejohanan sama.

Dua atlet tenpin boling, iaitu Ethan Damien Goh dari Sarawak dan wakil Selangor Muhammad Aiman Syahin Sulaiman menjadi taruhan kontinjen negeri masing-masing untuk membawa pulang emas.

Mereka berdua merupakan sebahagian daripada pasukan negara yang merangkul emas acara berpasukan campuran pada Kejohanan Boling Remaja Dunia 2026 di Kuching, bulan lepas.

Kejayaan menyambar emas 200m kuak kupu-kupu lelaki pada Sukan Remaja Komanwel 2023 di Trinidad and Tobago memberikan harapan buat Selangor untuk menuai emas acara itu menerusi Goh Li Hen.

Sementara itu, kemampuan pelumba berbasikal trek dari Pulau Pinang Nur Umairah Qhaisara Zulfikha Razak teruji selepas menduduki ranking ketiga remaja dunia acara pecut wanita.

Dengan persiapan rapi dilakukan, segala-galanya bakal terjawab di gelanggang, termasuk persoalan mampukah SUKMA Selangor 2026 menjadi pentas kelahiran bintang baharu yang bakal mengharumkan nama negara.

-- BERNAMA

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.