SHAH ALAM, 13 OGOS: Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) akan memperkasa permohonan Rumah SelangorKu ke arah pangkalan data bersepadu bagi memantau keseluruhan proses sehinga ke peringkat serahan kunci.
EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah berkata permohonan menerusi aplikasi eHartanah dan Sistem Permohonan Hartanah Negeri Selangor (SEPOHON) itu membolehkan status diketahui dalam tempoh sekitar 102 hari, tertakluk kepada dokumen dan unit.
“LPHS sedang membangunkan mekanisme alternatif untuk membolehkan pemohon memilih sehingga tiga projek berdekatan. Sekiranya tidak memenuhi merit bagi pilihan pertama, permohonan secara automatik diberi pilihan seterusnya, tanpa perlu memohon baharu.
“Pendekatan ini dapat mengurangkan tempoh menunggu, selain meningkatkan peluang mendapat tawaran rumah,” katanya menggulung usul Rancangan Selangor Kedua (RS-2) di sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.
Berhubung harga beberapa kategori Rumah SelangorKu yang melebihi RM250,000, Borhan berkata pentadbiran menyediakan insentif termasuk penyerapan kos duti setem dan kos pindah milik (MOT).
“Tawaran bagi mengurangkan beban pembeli. Kerajaan Negeri turut menyerap yuran penyelenggaraan percuma selama dua tahun. Kita terus meneliti mekanisme yang bersesuaian supaya harga dan kos pemilikan Rumah SelangoKu kekal mampu dimiliki rakyat,” katanya.
Ketika membentang RS-2 pada Jumaat, Dato’ Menteri Besar berkata Kerajaan Negeri menyasarkan pembinaan 200,000 unit Rumah Selangorku mampu milik menerusi Dasar Rumah Selangorku Harapan dan Idaman.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sasaran itu merupakan antara inisiatif di bawah Misi Ketiga: Negeri Penyayang dan Berdaya Huni dalam Rancangan Selangor Kedua (RS-2) yang memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kualiti hidup rakyat melalui pemerkasaan keterjangkauan, kebolehdiaman dan kesejahteraan secara menyeluruh.







