SUBANG JAYA, 2 OGOS: Kerajaan Selangor menyasarkan pembinaan 200,000 unit kediaman mampu milik menjelang 2028 sebagai ikhtiar menyokong aspirasi Kerajaan Persekutuan membina sejuta rumah mampu milik di seluruh negara.
EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah memberitahu setakat ini lebih 76,000 unit telah siap dibina di Selangor bagi membantu rakyat memiliki kediaman yang selesa pada harga mampu milik.

“Kita menyahut saranan Perdana Menteri dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) baru-baru ini untuk membina sejuta rumah mampu milik menjelang 2035.
“Sekarang di Selangor kita sudah bina lebih 76,000 unit dan saya yakin kita akan dapat capai sasaran itu dengan tempoh berbaki tiga tahun lagi,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.
Terdahulu, beliau menyempurnakan majlis penyerahan pemulangan bayaran prinsipal kepada pembeli Rumah Selangorku Residensi Jaya di sebuah hotel di Seri Kembangan, di sini.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), Mohd Hafiz Hassan serta Ahli Dewan Negeri Seri Kembangan, Wong Siew Ki.
Dalam pembentangan RMK-13 Khamis lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan sasaran pembinaan sejuta rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun bermula 2026 hingga 2035.
Inisiatif itu akan dilaksanakan melalui pelbagai program sedia ada termasuk Residensi Madani, Perumahan Penjawat Awam, Bantuan Bina Baharu Rumah serta Program Perumahan Mampu Milik.