SHAH ALAM, 31 OGOS: Laksamana Muda (B) Dato' Anuar Alias dinobat Tokoh Kemerdekaan Selangor 2025 atas jasa dan bakti besar yang dicurahkan dalam angkatan pertahanan negara, termasuk dalam beberapa misi antarabangsa.
Beliau yang menjadi inspirasi kepada filem terkenal PASKAL: The Movie menerima anugerah yang disampaikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sempena sambutan Hari Kebangsaan peringkat Selangor ke-68 2025 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam malam tadi.
Anuar, 63, yang membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 ketika ditemui menyifatkan pengiktirafan yang diberikan sebagai satu penghormatan yang tinggi bukan saja kepada dirinya tetapi juga seluruh anggota pertahanan negara.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Selangor kerana memilih saya sebagai Tokoh Kemerdekaan bagi sambutan yang ke-68 tahun ini.
"Saya pesara tentera yang sudah pencen, jadi rasa amat terharu kerana jasa dan pengorbanan saya selama menjadi pegawai TLDM selama 41 tahun masih dikenang, dihargai oleh negeri kelahiran saya, iaitu Selangor,” katanya.
Menurutnya, banyak pengalaman ketika bertugas yang tidak dapat dilupakan termasuklah berkaitan tugasan ketika di Angola yang menjadi inspirasi filem terkenal PASKAL: The Movie berdasarkan kisah benar yang dialaminya.
“Filem itu diambil berdasarkan cerita sebenar. Apa yang dialami saya semasa bertugas di Angola pada tahun 1998. Salah satu kejadian yang berlaku apabila saya sedang buat tugas rondaan di luar terdapat sebuah trak awam di hadapan saya.
“Trak awam yang membawa kira-kira 30 penumpang termasuk kanak-kanak itu telah diserang hendap dan pemandunya telah ditembak di kepala. Jadi, dalam serangan itu, apabila saya nampak ia diserang, saya maju ke hadapan untuk menyelamatkan mereka.
“Alhamdulillah, dengan kehadiran saya dan juga tentera pengaman PBB penyerang itu lari dan mengundurkan diri,” katanya.
Anuar mula menyertai perkhidmatan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada 1 Februari 1981 dan pengalaman beliau bermula sebagai Pegawai Navigasi di KD Baung sebelum berkhidmat di beberapa kapal lain.
Beliau selepas itu menyertai Pasukan Khas Laut (PASKAL) pasukan elit TLDM dan terlibat dalam operasi penting seperti misi pengunduran pasukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) UNISOM II di Somalia melalui KD Sri Indera Sakti dan KD Mahawangsa.
Anuar turut melaksanakan tugas berisiko tinggi termasuk anti-sniping, close escort dan amphibious withdrawal yang memerlukan keberanian serta ketangkasan luar biasa.
Beliau turut terpilih menyertai Misi Pengaman PBB di Angola sebagai Pegawai Pemerhati dan ditempatkan di kawasan bergolak di Team Site Bailundo, wilayah pemberontak di Angola Tengah.
Anuar juga berperanan besar ketika serangan hendap ke atas sebuah trak awam di antara Huambo dan Alto Hama. Beliau juga telah dianugerahkan Pingat Gagah Berani (PGB) pada 2 Jun 2000 atas tindakan berani, profesionalisme tinggi serta keupayaan memimpin dalam situasi genting di medan peperangan.
Penganugerahan ini disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, sekaligus menjadikan beliau wakil tunggal TLDM yang menerima PGB yang merupakan pengiktirafan tertinggi negara terhadap keberanian luar biasa seorang perwira.