
SHAH ALAM, 13 OGOS: Selangor bangkit daripada ketinggalan pada suku pertama untuk menewaskan Wilayah Persekutuan 13-5 dalam aksi kedua Kumpulan B polo air lelaki Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Akuatik Selangor, hari ini.
Selangor yang berdepan aksi sengit sejak awal permainan bagaimanapun berjaya bangkit menguasai perlawanan dan melebarkan jurang jaringan pada kuarter-kuarter berikutnya.
Kapten Selangor, Brandon Wong berkata, beliau sudah menjangkakan perlawanan sengit menentang Wilayah Persekutuan, terutama selepas pasukannya ketinggalan pada suku pertama.
“Kami sudah menjangkakan perlawanan sengit menentang Wilayah Persekutuan hari ini.
"Kami tahu kami akan berdepan cabaran dan jika kami mahu menang, kami perlu bermain 110% hari ini. Saya percaya kami telah lakukan dengan sangat baik, kami berjaya mengatasinya,” katanya ketika ditemu bual Media Selangor.
Sementara itu, jurulatih Selangor, Ko Hyang Kwuaon memuji persembahan pemainnya yang disifatkan beraksi melebihi kemampuan sebenar untuk memastikan kemenangan menjadi milik pasukan.
Menurutnya, beliau tidak menyalahkan mana-mana pemain atas kesilapan yang berlaku sebaliknya menekankan kepentingan untuk kekal bersatu sepanjang perlawanan.

“Hari ini mereka bermain dengan sangat bagus. Dengan pengadil yang kami ada sekarang, saya boleh katakan mereka (pemain) beraksi sebaik yang mereka mampu.
"Akhirnya kami putuskan yang lakukan paling banyak kesilapan akan memenangi perlawanan kali ini. Syukur, kami menang kali ini kerana pemain kami kekal bersama sebagai pasukan dan mereka bekerja keras untuk hasil ini," katanya.
Kemenangan itu menyaksikan Selangor meneruskan momentum positif dalam saingan Kumpulan B selepas turut mencatat kemenangan pada aksi pembukaan sebelum ini.
Semalam, Selangor meneruskan momentum positif selepas membelasah Pulau Pinang 23-13 dalam aksi pembukaan Kumpulan B.

Selangor bakal meneruskan saingan pusingan Kumpulan B dengan berdepan dengan Sabah dalam aksi seterusnya di Akuatik Selangor, esok.
Akuatik Selangor yang terletak di Seksyen 13, Shah Alam, kira-kira dua kilometer dari Stesen LRT Stadium Shah Alam, menjadi antara venue utama bagi saingan akuatik Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.
Orang ramai yang ingin ke lokasi berkenaan boleh mencari lokasi 'Akuatik Selangor' menerusi aplikasi Waze atau Google Maps.










