
KLANG, 13 OGOS: Kejayaan meraih dua pingat emas sebelum upacara pembukaan Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 memberi isyarat positif kepada Kontinjen Selangor dalam usaha mencapai sasaran 80 emas pada temasya kali ini.
Ketua Kontinjen Selangor, Abbas Salimmi Che Adzmi berkata pencapaian menerusi acara bola keranjang 3x3 lelaki dan wanita membuktikan persiapan rapi serta kerja keras atlet negeri mula membuahkan hasil.
Menurutnya, momentum tersebut perlu dikekalkan oleh seluruh atlet Selangor sehingga hari terakhir temasya.
“Saya ucapkan tahniah kepada pasukan bola keranjang kita atas kejayaan ini, sekali gus membuktikan komitmen dan kerja keras mereka sebelum ini membuahkan hasil.
“Ini adalah permulaan yang baik buat Kontinjen Selangor dan ia memberi signal positif buat semua. Atlet kita juga dilihat bersemangat dan saya yakin kita mampu mencapai sasaran 80 pingat emas,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Serdang berkata sokongan padu penyokong serta penglibatan sukarelawan turut menjadi antara kekuatan Selangor selaku tuan rumah SUKMA 2026.
Katanya, kehadiran penyokong yang membentuk pasukan sorak di venue pertandingan bukan sahaja memeriahkan temasya, malah membantu meningkatkan semangat atlet ketika beraksi.
“Ini juga adalah kelebihan kita sebagai tuan rumah. Saya lihat ramai penyokong yang datang dan ini adalah tanda kita mampu menjayakan SUKMA kali ini dengan baik,” katanya.
Dalam aksi final bola keranjang 3x3 di Gelanggang Bola Keranjang Bukit Tinggi, Selangor mempertahankan kejuaraan selepas skuad lelaki menewaskan Wilayah Persekutuan 21-13.
Skuad wanita Selangor turut mencatat kemenangan bergaya dengan menundukkan Wilayah Persekutuan 21-4 untuk menghadiahkan pingat emas kedua kepada kontinjen negeri.
Kejayaan itu membolehkan Selangor membuka kempen SUKMA 2026 dengan dua pingat emas sekali gus menyuntik keyakinan kontinjen negeri dalam misi mencapai sasaran 80 pingat emas.







