SUKMA 2026: Selangor mahu teruskan rentak kemenangan, waspada cabaran Sabah

12 Ogos 2026, 1:44 PM
SUKMA 2026: Selangor mahu teruskan rentak kemenangan, waspada cabaran Sabah
SUKMA 2026: Selangor mahu teruskan rentak kemenangan, waspada cabaran Sabah
SUKMA 2026: Selangor mahu teruskan rentak kemenangan, waspada cabaran Sabah

KUALA LUMPUR, 12 OGOS: Selangor mahu meneruskan rentak kemenangan dalam aksi kedua Kumpulan A bola sepak wanita Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 menentang Sabah di Stadium Selayang, esok, namun enggan terlalu selesa selepas kemenangan besar pada aksi pembukaan.

Kapten Selangor, Nur Najwa Irdina Zaidi berkata kemenangan 7-0 ke atas Wilayah Persekutuan memberikan keyakinan kepada pasukan, namun beberapa kelemahan yang dikenal pasti perlu segera diperbaiki sebelum berdepan Sabah.

Kapten Bola Sepak Wanita Selangor, Nur Najwa Irdina Zaidi. Foto SHAMZ JOHAN/MEDIA SELANGOR

“Setakat ini, mood kami positif untuk perlawanan akan datang, kami rasa dapat buat yang terbaik lagi tapi tak mahu terlalu yakin.

“Kita tahu ada banyak kesilapan yang kita buat pada perlawanan lalu, terutamanya dari segi komunikasi, kedudukan pemain dan ketenangan. Jadi, kita akan perbaiki kesilapan ini untuk aksi seterusnya,” katanya kepada Media Selangor di Hotel KIP Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut pemain yang mesra dipanggil Wawa itu, Sabah dijangka memberikan saingan lebih sengit dan memerlukan seluruh pasukan untuk kekal fokus sepanjang perlawanan.

“Kita tahu Sabah bukan lawan yang mudah dan kami akan bawa semangat yang ada sekarang untuk tampil aksi lebih baik,” katanya.

Nur Najwa turut menyifatkan kehadiran ratusan penyokong tempatan pada aksi pembukaan di Stadium Selayang sebagai suntikan semangat tambahan kepada pasukan.

“Sambutan sangat baik, kami tak pernah dapat sokongan penonton seramai semalam. Ia bagi impak yang besar kepada pemain dan memberi motivasi apabila ramai penyokong datang memberi sokongan,” katanya.

Sementara itu, pemain pertahanan negara, Eusvewana Kadius berkata Selangor menyasarkan untuk mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada edisi SUKMA 2024 di Sarawak.

Pemain Bola Sepak Wanita Selangor, Eusvewana Kadius. Foto SHAMZ JOHAN/MEDIA SELANGOR

“Kami mahu meraih emas lagi tahun ini dan mempamerkan persembahan terbaik, lebih baik daripada edisi SUKMA 2024 di Sarawak.

“Misi peribadi saya pula adalah untuk menang lebih banyak perlawanan, menjaringkan lebih banyak gol dan bantuan gol, meraih gelaran pemain terbaik perlawanan serta mencatatkan kejayaan terbaik untuk tahun ini,” katanya.

Dalam pada itu, Nur Najwa menyifatkan SUKMA sebagai platform penting untuk pemain muda mengetengahkan potensi serta membina pengalaman di pentas kompetitif.

“SUKMA merupakan platform terbaik untuk pemain-pemain muda. Ini peluang terbaik untuk mereka menunjukkan potensi serta kebolehan yang ada,” katanya.

Pemain Bola Sepak Wanita Selangor Eusvewana Kadius (kiri) bersama Kapten Pasukan Bola Sepak Wanita Selangor Nur Najwa Irdina Zaidi bergambar bersama selepas temuramah di Hotel KIP Kuala Lumpur pada 12 Ogos 2026. Foto SHAMZ JOHAN/MEDIA SELANGOR

Eusvewana turut senada dengan kaptennya, sambil menyifatkan kejohanan berkenaan sebagai medan penting untuk pemain muda mendapatkan pendedahan di peringkat tertinggi.

Selangor akan menentang Sabah dalam aksi kedua Kumpulan A bola sepak wanita di Stadium Selayang, malam esok.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.