Lapan GLC Selangor sedia tawar pekerjaan profesional kepada golongan OKU

12 Ogos 2026, 12:38 PM
Lapan GLC Selangor sedia tawar pekerjaan profesional kepada golongan OKU

SHAH ALAM, 12 OGOS: Lapan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Selangor menyatakan kesediaan membuka ruang pekerjaan kepada golongan orang kurang upaya (OKU), khususnya dalam bidang profesional.

Pengerusi Majlis Tindakan OKU Selangor (MTOS) Danial Al-Rashid Haron berkata seramai 15 calon daripada kumpulan awal kira-kira 20 bakat OKU kini menjalani latihan sebelum dipadankan dengan jawatan bersesuaian di syarikat terbabit.

"Dalam pertemuan sebelum ini, CEO MBI sendiri hadir bersama lapan syarikat yang menyatakan kesediaan untuk membuka peluang pekerjaan kepada golongan OKU.

"Kita mempunyai kira-kira 20 calon dalam 'pool of talent' dan 15 daripadanya dipilih untuk kumpulan pertama. Sekarang kita sedang melalui proses pemadanan pekerjaan dengan melihat kesesuaian calon, latar belakang pendidikan serta jawatan yang disediakan.

"Tumpuan kita adalah kepada pekerjaan profesional seperti perakaunan, pengurusan dan sumber manusia, bukan pekerjaan berkemahiran rendah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena pengedaran Buku Dasar Orang Kurang Upaya Selangor kepada semua Ahli Dewan Negeri (ADN) di Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Sementara itu, EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata Kerajaan Negeri terus komited memperkukuh agenda inklusiviti dan kebajikan saksama bagi memastikan golongan OKU tidak terpinggir daripada arus pembangunan negeri.

Menurutnya, pengedaran Buku Dasar OKU Selangor kepada semua ADN bertujuan merapatkan jurang maklumat selain memperluas pengetahuan dan kefahaman wakil rakyat susulan pelancaran rasmi dasar berkenaan pada 9 Jun lalu.

"Kerajaan Negeri memegang prinsip dasar yang dirangka tidak seharusnya kekal sebagai dokumen bertulis semata-mata, sebaliknya perlu dihayati dan diarusperdanakan oleh semua pihak.

"Peranan para ADN amat penting sebagai pemangkin utama di kawasan masing-masing untuk memastikan setiap dasar kebajikan dan hak OKU diterjemahkan kepada tindakan nyata demi meningkatkan kualiti hidup komuniti OKU di Selangor," ujarnya.

Selain itu, MTOS kini merangka Garis Panduan Reka Bentuk Sejagat Selangor dan Garis Panduan Pekerjaan Inklusif Selangor bagi mengukuhkan pelaksanaan Dasar OKU Selangor di peringkat negeri.

Danial berkata garis panduan itu penting memandangkan Buku Dasar OKU Selangor berfungsi sebagai panduan dan polisi serta tidak mempunyai bidang kuasa penguatkuasaan.

"Dengan kita melahirkan dua lagi garis panduan iaitu Reka Bentuk Sejagat dan Pekerjaan Inklusif, kita akan susuli juga dengan pekeliling daripada Kerajaan Negeri.

"Buku Dasar lebih kepada panduan dan polisi, tetapi garis panduan itu yang akan membantu dari segi pelaksanaan. Maknanya, untuk menambah baik pelaksanaan, perlu ada garis panduan dan juga pekeliling," katanya.

Kategoriadn

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.