SHAH ALAM, 12 OGOS: Kutipan caj beg plastik di Selangor menyusut hampir 48 peratus dalam tempoh tiga tahun, daripada RM13.35 juta pada 2023 kepada RM6.97 juta pada 2025.
EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin berkata kutipan berkenaan menunjukkan penurunan konsisten apabila RM9.04 juta direkodkan pada 2024 sebelum berkurang kepada RM6.97 juta tahun lalu.
Menurutnya, trend itu mencerminkan perubahan tingkah laku pengguna yang semakin mengutamakan penggunaan beg guna semula ketika membeli-belah.
“Trend kutipan caj beg plastik menunjukkan penurunan konsisten dari 2023 hingga 2025, yang mencerminkan perubahan tingkah laku pengguna yang semakin mengutamakan penggunaan beg guna semula ketika membeli-belah.

“Kerajaan Negeri berpandangan bahawa sasaran ke arah sifar penggunaan plastik sekali guna menjelang 2030 adalah mencabar tetapi berpotensi untuk dicapai sekiranya momentum pelaksanaan dasar, penguatkuasaan, pendidikan awam dan kerjasama semua pihak dapat dikekalkan secara berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Pandamaran Leong Tuck Chee dalam persidangan Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.
Jamaliah berkata, Kempen Bebas Plastik yang dilaksanakan sejak 2010 serta Program Kutipan Caj Beg Plastik yang diperkenalkan pada 2020 turut menunjukkan perkembangan positif dari aspek kesedaran pengguna dan penyertaan pihak swasta.
Katanya, peningkatan penyertaan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan sektor swasta melalui penyediaan gerobok beg atau sudut beg di pusat komersial, pusat beli-belah dan pasar awam turut menggalakkan amalan berkongsi serta menggunakan semula beg.
“Namun, pencapaian sasaran ini tidak boleh bergantung kepada tindakan Kerajaan Negeri semata-mata, sebaliknya memerlukan komitmen PBT, sektor perniagaan, pengilang, pertubuhan masyarakat sivil dan pengguna untuk mengamalkan prinsip mengurangkan, menggunakan semula dan mengitar semula (3R).
“Kempen ini seiring dengan Malaysia’s Roadmap Towards Zero Single-Use Plastics 2018–2030 sebagai panduan nasional dalam usaha mengurangkan penggunaan plastik sekali guna dan memperluaskan penggunaan alternatif yang lebih lestari,” katanya.









