Wanita maut disambar buaya ketika cari siput

11 Ogos 2026, 8:58 AM
Wanita maut disambar buaya ketika cari siput

SHAH ALAM, 11 OGOS: Seorang wanita warga emas berusia 78 tahun maut selepas disambar buaya ketika mencari siput bersama anaknya di anak sungai yang bersambung dengan Sungai Suai, Batu Niah, Sarawak, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 11 pagi itu, Sambai Anggah, 78, disambar reptilia berkenaan ketika berada di dalam perahu, manakala anaknya berada di dalam sungai kira-kira satu meter dari lokasi kejadian, lapor Berita Harian.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Niah, PBK II Azlan bin Azaman, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 11.26 pagi sebelum sepasukan lima anggota bersama sebuah jentera FRT digerakkan ke lokasi.

“Berdasarkan maklumat diterima, mangsa bersama anaknya sedang mencari siput di sekitar sungai sebelum secara tiba-tiba disambar seekor buaya,” katanya.

Beliau berkata, anak mangsa yang berada kira-kira satu meter dari lokasi kejadian menyaksikan sendiri reptilia berkenaan menyambar ibunya yang ketika itu berada di dalam perahu.

“Buaya terbabit kemudian mengheret mangsa kira-kira 10 meter dari perahu sebelum melepaskannya selepas dikepung penduduk kampung.

“Mangsa kemudian ditemui penduduk dalam keadaan terapung sebelum dibawa ke jeti.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia dalam kejadian itu sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.