EXCO: Tarian singa, naga bukti budaya mampu satukan pelbagai kaum

10 Ogos 2026, 11:00 AM
EXCO: Tarian singa, naga bukti budaya mampu satukan pelbagai kaum
EXCO: Tarian singa, naga bukti budaya mampu satukan pelbagai kaum
EXCO: Tarian singa, naga bukti budaya mampu satukan pelbagai kaum

DENGKIL, 10 OGOS: Penyertaan masyarakat Melayu dan India dalam tarian singa dan naga menunjukkan warisan yang dahulunya sinonim dengan masyarakat Cina kini turut dikongsi dan diraikan pelbagai kaum.

EXCO Kebudayaan Datuk Borhan Aman Shah berkata kepelbagaian budaya mampu menyemai rasa saling menghormati dan memahami antara satu sama lain, sekali gus memperkukuh perpaduan masyarakat.

"Sebab itu kita dapat lihat ada orang Melayu dan India yang turut menyertai tarian singa dan naga, termasuk pemain yang memakai tudung.

"Ini menunjukkan budaya boleh dikongsi dan diraikan bersama. Mari kita raikan semua budaya yang ada di Selangor," katanya ketika berucap pada Pertandingan Tarian Singa dan Naga Seni Warisan Peringkat Selangor 2026 di sini, malam tadi.

Peserta mempersembahkan aksi dalam kategori Naga Bercahaya sempena Pertandingan Tarian Singa dan Naga Seni Warisan Peringkat Selangor 2026 di Dewan SJK (C) Dengkil, Sepang pada 9 Ogos 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Borhan yang juga Ahli Dewan Negeri Tanjong Sepat berkata program kebudayaan Kerajaan Selangor tidak tertumpu kepada satu kaum, sebaliknya memberi ruang kepada semua masyarakat mengetengahkan warisan masing-masing.

Sehubungan itu, beliau memuji usaha Kelab Belia Kampung Baru Seri Dengkil menganjurkan pertandingan berkenaan dan berharap lebih banyak program kebudayaan dilaksanakan sebagai platform pendidikan budaya dan pembangunan bakat.

"Saya percaya pertandingan seperti ini bukan sahaja melahirkan pasukan hebat, malah mengeratkan hubungan antara komuniti.

"Nilai ini penting untuk membentuk jati diri positif dalam kalangan generasi muda, selain menyemai rasa bangga terhadap warisan budaya sendiri," katanya.

Justeru, beliau menggalakkan lebih banyak sekolah, persatuan belia dan pertubuhan kebudayaan melibatkan generasi muda dalam aktiviti warisan.

EXCO Kebudayaan Datuk Borhan Aman Shah bergambar bersama ketika majlis Perasmian Penutup Pertandingan Tarian Singa dan Naga Seni Warisan Peringkat Selangor 2026 di Dewan SJK (C) Dengkil, Sepang pada 9 Ogos 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

"Tanggungjawab memelihara warisan bukan hanya di bahu kerajaan, tetapi memerlukan sokongan semua pihak termasuk persatuan, sekolah dan komuniti.

"Warisan bukan sekadar untuk dipamerkan, sebaliknya perlu dipelajari, diamalkan dan dipersembahkan supaya terus hidup dalam kalangan generasi muda," katanya.

Beliau menegaskan usaha berterusan semua pihak penting bagi memastikan warisan budaya terus hidup dan dapat diwariskan kepada generasi seterusnya.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.