Tatkala malam tiba, dentuman gendang dan gong bergema memecah kesunyian. Setiap hentakan langkah menyatu, merentas sempadan bangsa.
Dalam tarian singa, bukan sekadar seni dipersembahkan, tetapi semangat Malaysia yang hidup dalam kepelbagaian.
Di Bukit Beruntung, Selangor, sekumpulan belia pelbagai kaum berhimpun saban minggu. Berpakaian seragam latihan, mereka menumpukan sepenuh jiwa pada setiap lompatan, pendaratan dan paluan.
Mereka adalah ahli kumpulan Yong Jun Lion Dance Bukit Beruntung, sebuah pasukan yang menjadikan tarian singa sebagai bahasa perpaduan.

Rumah kedua
Bagi Khairunnisa Adawiyah, 16, pasukan ini ibarat rumah keduanya. Menyertainya sejak 2018, kini gadis genit itu menjadi pemain gendang utama.
“Ibu bapa saya pada mulanya ragu-ragu kerana perbezaan budaya. Tapi bila mereka faham tarian singa ini bukan soal agama, mereka izinkan saya,” katanya.
Air mata pernah menitis tatkala tubuh kecilnya bergelut mengangkat gong yang berat dan sukar menguasai teknik. Namun, ketabahan membuatkannya kekal hingga kini.
“Dulu saya pendiam, pemalu. Kini saya lebih yakin. Semua kerana sokongan rakan-rakan. Di sinilah rumah kedua saya,” katanya.

Sharvin Rao, 19, pula mengakui setiap langkah menggalas kepala dan ekor singa penuh cabaran. Pernah dihukum kerana tersilap gerakan, namun baginya jurulatih bagaikan bapa kedua, tegas mendidik tetapi penuh kasih.
“Saya banyak berubah, daripada pendiam menjadi lebih berani. Kenangan paling indah, bila pasukan kami menang anugerah. Ibu bapa sentiasa menyokong,” kata mekanik muda itu.

Sementara itu, Yap Zi Qing, 15, yang mula berlatih sejak usia tujuh tahun, menganggap setiap persembahan sebagai memori berharga.
“Paling seronok bila kami menaiki lori beramai-ramai menuju lokasi persembahan. Di sinilah saya belajar hormat-menghormati dan tidak mudah putus asa," katanya.
Di matanya, tarian singa bukan sekadar seni, tetapi wadah yang menyatukan persahabatan merentas kaum, memupuk rasa hormat dan mengajar erti pantang menyerah.

Disiplin dan keserasian
Pasukan tarian singa ini diasaskan oleh Chan Yong Zhen, 34, pada 2013. Beliau meneruskan legasi bapanya yang dahulu menyediakan ruang di kuil sebagai gelanggang latihan.
Bermula 2016, beliau giat merekrut ahli baharu di sekolah rendah Cina, malah berjaya menarik minat anak-anak Melayu dan India untuk turut serta.
“Bila memakai pakaian singa, semua jadi satu pasukan. Tiada beza bangsa. Yang ada hanya disiplin, keserasian dan kebersamaan,” jelasnya.
Kini, persembahan mereka bukan lagi terbatas pada pertandingan, malah dijemput ke pusat beli-belah hingga ke rumah sahabat Melayu. Tarian mereka sentiasa mengundang keterujaan dan tepukan gemuruh.

Bukti perpaduan
Faizal Salehudin, 55, bapa enam anak dengan dua daripadanya ahli persatuan itu, tersenyum bangga melihat impiannya sejak kecil direalisasikan.
“Saya sejak kecil minat tarian singa, tapi tak pernah berpeluang sertai. Kini anak-anak pula menunaikan impian itu.
“Tarian singa adalah simbol budaya, bukan agama. Saya suka lihat pelbagai kaum menari bersama-sama. Inilah wajah sebenar Malaysia,” katanya.

Sejak anak-anaknya menyertai pasukan itu, mereka lebih berdisiplin. Malah beliau sendiri sudah menganggap jurulatih sebagai keluarga.
Di gelanggang latihan, semua ahli berdiri tegak memberi tabik hormat kepada jurulatih. Walau berbeza kaum, mereka belajar adat masing-masing, meraikan perayaan bersama dan saling menyokong antara satu sama lain.
“Dari komuniti kecil ini, budaya Cina diperkenal, kaum lain turut mengenali tarian singa. Inilah kejayaan sebenar yang saya banggakan,” kata Yong Zhen.
Ketika dentuman gendang perlahan-lahan reda, beberapa ibu bapa Melayu sabar menanti di tepi gelanggang. Senyuman terukir melihat anak-anak mengakhiri latihan.
Di sebalik kepala dan ekor singa, tiada lagi garis pemisah. Hanya ada satu pasukan, satu keserasian dan satu semangat perpaduan yang terus mekar dalam komuniti kecil ini.