Seni pembuatan kepala singa ke persada dunia

17 Feb 2026, 4:00 AM
Seni pembuatan kepala singa ke persada dunia
Seni pembuatan kepala singa ke persada dunia
Seni pembuatan kepala singa ke persada dunia

Seni tarian singa telah lama mengharumkan nama negara ke persada antarabangsa, sehingga diberi gelaran ‘Raja Singa Dunia’.

Namun, di sebalik sorakan pentas dan gerak lincah penari, tersembunyi satu seni halus yang jarang dipandang pembuatan kepala singa.

Tidak ramai mengetahui Malaysia melahirkan seorang pakar pembuat kepala singa bertaraf antarabangsa, Lim Meng Kok, individu yang menjadikan seni itu dikenali dan menerima tempahan dari seluruh dunia.

Dalam kalangan penggiat tarian singa, wujud ungkapan popular, “Di mana ada orang Cina, di situ pasti ada kepala singa Lao Fu Zi” merujuk kepada jenama yang dibina lelaki itu sejak lebih empat dekad lalu.

Ironinya, perjalanan maestro berusia 78 tahun itu bermula jauh daripada dunia seni. Dahulu, dia hanyalah pekerja kilang aiskrim dengan gaji harian sekitar RM4.

Demi menyara keluarga, dia mencari pendapatan sampingan dan bersama rakan-rakan yang meminati tarian singa, mereka mula membaiki kepala singa yang rosak.

Bertitik tolak daripada usaha itu, Meng Kok dikenali sebagai ‘doktor’ dalam komuniti seni tarian singa.

Melalui proses membaiki, mencuba dan belajar secara berdikari, dia akhirnya menguasai seni membuat kepala singa sebelum menubuhkan Lo Fo Chi Enterprise.

“Saya mula menumpukan sepenuh masa kepada pembuatan kepala singa pada tahun 1982. Disebabkan kurang pengalaman ketika itu, dalam sebulan saya hanya mampu menyiapkan paling banyak empat kepala singa.

“Semuanya perlu dilakukan langkah demi langkah untuk mengumpul pengalaman,” katanya.

Lelaki itu turut berani melakukan inovasi apabila mendapati buluh tempatan terlalu keras. Rotan dan aluminium digunakan sebagai bahan rangka, menjadikan kepala singa lebih tahan lama satu pendekatan yang kemudiannya menjadi penanda aras industri.

Lim Meng Kok dan kakitangannya bersama koleksi kepala singa di Lo Fo Chi Enterprise, Kepong pada 20 Januari 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

30 kepala singa sebulan

Kini, bersama para pelatih, bengkelnya di Kepong, Kuala Lumpur mampu menghasilkan antara 20 hingga 30 kepala singa sebulan. Namun, proses pembuatannya kekal rumit dan bergantung kepada cuaca.

“Menampal kertas pasir mesti dibuat lapis demi lapis. Setiap lapisan perlu dikeringkan sepenuhnya sebelum sambung ke lapisan seterusnya. Tidak boleh tergesa-gesa,” katanya.

Meng Kok mengakui paling bimbang jika cuaca mendung kerana proses pengeringan sepenuhnya bergantung kepada angin semula jadi.

Bahagian melukis corak pula tidak pernah diserahkan kepada orang lain kerana di situlah ‘jiwa’ sesebuah kepala singa dicipta.

“Corak yang saya lukis ada ‘jiwa’ dan ‘bayang’ saya sendiri. Ia tidak boleh ditiru sepenuhnya,” katanya ketika mengulas isu peniruan produk di pasaran.

Walaupun harga kepala singa asli mencecah RM3,500 hingga RM8,000, tempahan tetap penuh sehingga tahun 2028.

“Walaupun mereka jual lebih murah, tempahan kami tetap tidak putus,” katanya berseloroh.

Di sebalik kejayaan, Meng Kok mengakui cabaran paling besar adalah ketahanan fizikal dan kesinambungan warisan.

“Walaupun pinggang sakit dan badan letih, saya tetap rela. Ini adalah budaya kita, dan mesti diwariskan kepada generasi muda,” katanya.

Bapa kepada tujuh anak itu juga mengakui tidak ramai generasi muda sanggup menceburi bidang yang menuntut kesabaran tinggi dan pulangan tidak segera.

“Saya ingin ingatkan, ‘setiap bidang ada juaranya’. Selagi anda berusaha dan berpegang pada prinsip, peluang pasti akan datang,” katanya.

Kakitangan melakukan proses menampal lapian pelekat warna di kepala singa mengikut tempahan pelanggan di Lo Fo Chi Enterprise, Kepong pada 20 Januari 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Bagi anak muridnya, Cheng Jau Shin, 35, seni tarian singa dan seni pembuatan kepala singa adalah warisan yang perlu dipertahankan.

“Kita mesti mewariskan kemahiran ini dari satu generasi ke generasi seterusnya. Saya berharap suatu hari nanti dapat mencipta kepala singa dengan gaya saya sendiri,” katanya.

Anak perempuan Meng Kok, Lim Seow Ling, 45, pula menyifatkan jenama Lao Fu Zi sebagai hasil usaha seumur hidup ayahnya yang kini dipelihara bersama keluarga.

“Di mana perlu, saya akan bantu. Buat masa ini saya lebih banyak terlibat dalam kerja menampal,” katanya.