Tiga pelarian Myanmar ditahan bantu siasatan kes seksual libatkan wanita OKU

9 Ogos 2026, 2:30 PM
Tiga pelarian Myanmar ditahan bantu siasatan kes seksual libatkan wanita OKU

CHUKAI, 9 OGOS: Tiga pelarian Myanmar bekerja sebagai buruh binaan dan kebersihan ditahan bagi membantu siasatan kes seksual melibatkan seorang wanita orang kurang upaya (OKU) di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintenden Mohd Razi Mohd Rosli berkata ketiga-tiga lelaki berumur lingkungan 19 hingga 28 tahun itu ditahan susulan laporan yang diterima pihaknya daripada seorang wanita berusia 20 tahun pada Jumaat lalu.

"Ketiga-tiga suspek ditahan reman bermula 8 hingga 12 Ogos ini bagi membantu siasatan. Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti suspek lain,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata polis perlu memperhalusi siasatan dan memberi ruang serta masa secukupnya kepada mangsa yang berusia 23 tahun sebelum siasatan dilengkapkan kerana wanita itu adalah OKU intelektual.

Selain itu, Mohd Razi berkata pihaknya mengesan penularan video di media sosial TikTok pada kira-kira 8.30 malam semalam yang memaparkan orang ramai berkumpul di hadapan Flat Kampung Enjin Gergaji di sini susulan kes berkenaan.

Beliau menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi kerana kes masih dalam siasatan.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.