Data awal pelarian Myanmar diperoleh suku keempat tahun ini

9 Ogos 2026, 4:27 AM
Data awal pelarian Myanmar diperoleh suku keempat tahun ini

PUTRAJAYA, 9 OGOS: Data awal pelarian Myanmar yang kini dikenal pasti menerusi program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) dijangka diperoleh pada suku keempat tahun ini, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sedang melaksanakan proses pengumpulan data berkenaan bersama pihak berkaitan.

“Saya jangkakan data pertama akan kami peroleh pada suku keempat tahun ini, sekarang dah bulan Ogos. Berapa pun jumlahnya saya akan berkongsi dengan media nanti,” katanya dalam sidang media selepas majlis pelepasan Konvoi Jelajah Star City FC di sini hari ini.

Media melaporkan KDN menerusi JIM sedang melaksanakan program DPP bagi mengurus isu golongan itu secara tersusun, selaras dengan Arahan Majlis Keselamatan Negara No 23 (Semakan 2023).

KDN memaklumkan program itu diwujudkan bagi membolehkan kerajaan memperoleh data biometrik dan maklumat identiti lebih tepat, lengkap dan boleh disahkan mengenai individu yang berada dalam kategori pelarian.

Saifuddin Nasution berkata individu yang dikenal pasti sebagai pelarian akan menjadi keutamaan bagi urusan penghantaran pulang menerusi tindakan Wisma Putra.

“Kalau sah mereka itu berstatus pelarian maka mereka tentunya antara kumpulan awal yang akan kita uruskan penghantaran. Yang itu akan dikendali Wisma Putra.

“Kami menjalankan pendataan. Kita kena ada mekanisme untuk mendekati mereka ni, hebahkan bahawa Kerajaan Malaysia sedang melakukan pendataan dan kita akan minta tampil ke hadapan,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata pendataan pelarian bukan tertumpu kepada pelarian Myanmar sahaja tetapi meliputi semua mereka yang dikenal pasti ada di negara ini.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.