HULU SELANGOR, 9 OGOS: Kerajaan Negeri giat menyelesaikan isu pewartaan tanah Orang Asli bagi menjamin hak dan kepentingan komuniti berkenaan di Selangor.
EXCO Hal Ehwal Orang Asli V Papparaidu berkata usaha itu menjadi antara keutamaan Kerajaan Negeri berikutan masih terdapat Kampung Orang Asli (KOA) yang belum diiktiraf atau diwartakan secara rasmi.
“Baru-baru ini saya mengadakan mesyuarat dengan Pegawai Daerah Hulu Selangor, kita bincang memang ada banyak KOA masih belum digazetkan atau diwarta.
“Usaha ini akan saya teruskan. Saya tetap akan membantu memastikan tanah yang sepatutnya dimiliki oleh KOA dapat diwartakan dengan sewajarnya,” katanya.
Beliau berucap merasmikan Festival Kebudayaan Orang Asli Selangor 2026 di Taman Tasik Milenium, Kuala Kubu Bharu di sini, hari ini.

Menurutnya, proses pewartaan bukan perkara mudah kerana melibatkan pelbagai aspek termasuk sejarah penempatan, pemindahan penduduk serta status rizab tanah.
Namun, katanya Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Pejabat Daerah dan Tanah serta agensi berkaitan bagi menyelesaikan isu berkenaan.
Setakat 21 Februari 2025, menerusi maklumat di portal Dewan Negeri Selangor, daripada keseluruhan 74 KOA di Selangor, 33 telah diwartakan termasuk Sakai Rezab, manakala hanya 41 KOA masih dalam tindakan JAKOA.
Beliau berkata Kerajaan Negeri juga sentiasa mengambil kira kepentingan masyarakat Orang Asli dalam pelaksanaan projek pembangunan.
“Kerajaan Negeri telah membina 24 rumah untuk masyarakat Orang Asli di Gombak sebagai bukti komitmen memastikan komuniti berkenaan terus menikmati kemudahan dan kediaman yang lebih baik.
“Kita tidak akan mengabaikan masyarakat Orang Asli. Mereka adalah sebahagian daripada pembangunan negeri dan hak mereka perlu terus dipelihara,” katanya.
Menurutnya, Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh kerjasama dengan semua pihak bagi memastikan pembangunan dapat dilaksanakan secara inklusif tanpa menjejaskan kepentingan masyarakat Orang Asli.
Menurutnya, aspek pendidikan masyarakat Orang Asli turut menjadi perhatian Kerajaan Negeri bagi memastikan generasi muda komuniti berkenaan mendapat peluang sama untuk membina masa depan lebih baik.
“Tok Batin, ibu bapa pastikan anak-anak wajib pergi sekolah. Sekurang-kurangnya habis SPM. Pendidikan sangat penting kerana ia adalah kunci kepada masa depan anak-anak. Saya mahu ibu bapa memastikan anak-anak pergi ke sekolah dan mendapat pendidikan yang baik,” katanya.









