SUKMA 2026: Sukarelawan terima elaun tambahan RM100 sehari

9 Ogos 2026, 5:08 AM
SUKMA 2026: Sukarelawan terima elaun tambahan RM100 sehari
SUKMA 2026: Sukarelawan terima elaun tambahan RM100 sehari
SUKMA 2026: Sukarelawan terima elaun tambahan RM100 sehari

SEPANG, 9 OGOS: Sukarelawan Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 bakal menerima elaun tambahan RM100 sehari sebagai penghargaan Kerajaan Negeri terhadap komitmen mereka dalam menjayakan temasya berkenaan.

Dato' Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jumlah itu merangkumi elaun makan dan tugasan, selain sukarelawan turut menerima elaun pengangkutan RM100 secara sekali bayar serta perlindungan insurans sehingga RM10,000.

"Kita juga akan berikan baju dan kad akreditasi. Anda berikan masa, anda berikan komitmen, anda berikan harga yang sangat tinggi untuk kejayaan kita semua. Ini sedikit yang kita berikan bagi saya untuk semua di Selangor," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penutup Larian Obor SUKMA 2026 bersempena Hari Tanpa Kenderaan Majlis Perbandaran Sepang dan Himpunan Mega Sukarelawan SUKMA dan Para SUKMA Selangor 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di sini, hari ini.

Amirudin berkata sumbangan sukarelawan penting dalam memastikan Selangor menjadi tuan rumah yang baik, khususnya selepas hampir 30 tahun tidak menganjurkan SUKMA.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika Himpunan Mega Sukarelawan SUKMA XXII dan Para SUKMA Selangor di Litar Sepang pada 9 Ogos 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Menurutnya, sukarelawan bukan sekadar membantu melancarkan operasi temasya, malah berperanan dalam mewujudkan suasana mesra kepada atlet, pegawai dan tetamu yang hadir dari seluruh negara.

"Bukan hanya stadium yang cantik, penganjur yang kemas, hadiah yang menarik, tetapi orang-orang Selangor yang mesra ditunjukkan wakilnya oleh para sukarelawan-sukarelawan sekalian," katanya.

Beliau turut menyeru semua sukarelawan menjadikan SUKMA sebagai program milik bersama dan melaksanakan tanggungjawab dengan menunjukkan nilai, adab serta sikap mesra kepada semua yang hadir.

Dalam pada itu, Amirudin berkata seramai 10,000 sukarelawan dipilih daripada 30,000 permohonan yang diterima bagi penganjuran kali ini.

Sebahagian sukarelawan menghadiri Himpunan Mega Sukarelawan SUKMA XXII dan Para SUKMA Selangor 2026 di Litar Antarabangsa Sepang pada 9 Ogos 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR

"Kami percaya mereka bukan sahaja membantu melicinkan kejohanan ini dengan sokongan dan bantuan. Tetapi mereka juga akan mampu mempertingkatkan lagi kesedaran awam atau promosi terhadap kejohanan ini.

"Kita akan cuba yang terbaik untuk menjadikan kejohanan ini sebagai kejohanan yang kemas dan tersusun serta memberi kenangan manis kepada semua yang dapat bersama. Dan kita turut menerima kontinjen antarabangsa dari Brunei," katanya.

Selain itu, Amirudin berkata penyelaras sukarelawan akan dilantik bagi memantau pergerakan serta kebajikan mereka sepanjang temasya.

"Kita akan tengok EXCO atau mana-mana ahli dewan negeri yang bersesuaian supaya keberkesanan mereka akan dapat dipantau pada setiap masa. Saya akan umumkan dalam satu atau dua hari lagi," katanya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.