Pemutihan inap desa diperluas ke Hulu Selangor

9 Ogos 2026, 4:00 AM
Pemutihan inap desa diperluas ke Hulu Selangor
Pemutihan inap desa diperluas ke Hulu Selangor
Pemutihan inap desa diperluas ke Hulu Selangor

SABAK BERNAM, 9 OGOS: Kerajaan Negeri akan memperluas proses pemutihan inap desa ke Hulu Selangor bagi memastikan pengusaha penginapan beroperasi secara sah dan mematuhi syarat penggunaan tanah.

EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim berkata langkah itu merupakan kesinambungan proses pemutihan yang dilaksanakan di Sabak Bernam dan Tanjung Karang sebagai projek perintis.

Menurutnya, proses pemutihan penting memandangkan terdapat pengusaha inap desa yang beroperasi di atas tanah dengan syarat penggunaan yang tidak selaras dengan aktiviti penginapan.

“Untuk pihak berkuasa tempatan (PBT), kita akan perkemas dan daripada segi industri hotel pula penarafan bintang dan tahap kebersihan akan diberi perhatian, termasuk di kawasan luar bandar.

“Mana yang belum diputihkan, kita akan putihkan termasuk homestay (inap desa)... ada yang syarat guna tanah bercanggah tetapi untuk galakkan industri terus berjalan, kena putihkan.

“Projek perintis pertama di Sabak Bernam kita putihkan termasuk di Tanjung Karang akan datang kita akan panjangkan di Hulu Selangor dan sebagainya kerana ada banyak inap desa,” katanya.

EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim ditemui media selepas perasmian program Warisan di Dapur Menyatukan Rasa Masakan Jawa, Banjar dan Bugis Daerah Sabak Bernam di Sekolah Kebangsaan Seri Sekinchan, Sabak Bernam pada 8 Ogos 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Beliau ditemui selepas merasmikan Program Warisan di Dapur Menyatukan Rasa Masakan Jawa, Banjar dan Bugis peringkat daerah Sabak Bernam di Sekolah Kebangsaan Seri Sekinchan, semalam.

Suee Lim menjelaskan usaha berkenaan dilaksanakan bagi membantu pengusaha inap desa memenuhi piawaian minimum ditetapkan, bukan untuk membebankan mereka.

Pada masa sama, katanya, proses pemutihan membolehkan pengusaha mendapatkan lesen dan perlindungan insurans sekali gus memberi jaminan keselamatan lebih baik kepada pengunjung.

“Projek ini kita nak bantu rakyat bukan menyusahkan rakyat. Saya tahu sesetengah pengusaha mungkin mereka tidak begitu selesa kerana tiba-tiba nak bayar itu nak bayar macam-macam.

“Tetapi tujuan majlis dan Kerajaan Negeri kita nak bantu nak pastikan mereka mematuhi minimum piawaian supaya ada lesen dan boleh beli insurans.

“Kalau boleh dapatkan perlindungan insurans, pelancong masuk duduk itu ada jaminan. Itu yang penting kalau tidak apabila berlaku sesuatu terjadi, musibah dan sebagainya, PBT akan disalahkan,” katanya.

Kelmarin, ketika pembentangan Rancangan Selangor Kedua (RS-2), Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri akan terus memastikan kesemua 12 PBT di Selangor mencapai skor Sistem Penarafan Bintang Pihak Berkuasa Tempatan (SPB-PBT) sekurang-kurangnya 95 peratus.

Sebelum ini, Suee Lim memaklumkan Sabak Bernam menjadi daerah pertama di Selangor melaksanakan proses pemutihan inap desa bagi memastikan pengusaha penginapan beroperasi secara sah dan mematuhi syarat penggunaan tanah.

Sebanyak 140 inap desa dikenal pasti di daerah berkenaan dengan kebanyakannya dibina di atas tanah bendang dan tidak menepati piawaian ditetapkan.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.