ad

Pemutihan inap desa langkah tepat tapi jangan bebankan pengusaha

6 Nov 2025, 1:01 PM
Pemutihan inap desa langkah tepat tapi jangan bebankan pengusaha
Pemutihan inap desa langkah tepat tapi jangan bebankan pengusaha
Pemutihan inap desa langkah tepat tapi jangan bebankan pengusaha

SHAH ALAM, 6 NOV: Proses pemutihan inap desa di Selangor disifatkan sebagai langkah tepat bagi memperkemas sektor pelancongan negeri, namun pelaksanaannya perlu diselaras agar tidak membebankan pengusaha kecil.

Pengerusi Persatuan Pelancongan Sabak Bernam, Subani Marzuki berkata Kerajaan Negeri wajar mengambil kira kemampuan pengusaha serta mendengar pandangan pemain industri agar proses itu berjalan lancar dan berkesan.

Menurutnya, antara isu utama perlu diberi perhatian ialah kadar bayaran lesen yang terlalu tinggi dan perlu dikaji semula secara menyeluruh.

“Proses pemutihan ini betul. Dari segi dasar memang tepat kerana semua ada tatacara dan tatakelola. Cumanya, kita minta diselaraskan dengan kemampuan pengusaha inap desa.

“Pengusaha kecil kalau nak daftar di pejabat tanah kosnya hampir RM4,000. Kalau hanya ada dua bilik, memang tak mampu. Belum termasuk pendaftaran dengan pihak berkuasa tempatan, sekitar RM3,000 hingga RM4,000.

Pengerusi Persatuan Pelancongan Sabak Bernam, Subani Marzuki.

"Lesen tahunan inap desa menelan kos sekitar RM1,000, manakala denda dikenakan pula antara RM800 hingga RM1,000. Jadi perkara itu perlu dibincang dan disemak semula sebelum dimuktamadkan,” katanya kepada Media Selangor.

Subani yang mengetuai persatuan dengan kira-kira 20 ahli berdaftar itu turut berharap agar karenah birokrasi dapat dikurangkan bagi memastikan proses mendapatkan lesen berjalan dengan lebih telus dan efisien.

Terdahulu, EXCO Pelancongan, Dato’ Ng Suee Lim memaklumkan Kerajaan Negeri akan memulakan proses pemutihan inap desa dengan Sabak Bernam sebagai lokasi pertama.

Katanya, langkah itu bertujuan memastikan pengusaha beroperasi secara sah, mematuhi syarat penggunaan tanah dan memudahkan pemantauan sekiranya berlaku insiden tidak diingini.