Israel terus lancarkan serangan di selatan Lubnan meskipun gencatan senjata

8 Ogos 2026, 2:32 PM
Israel terus lancarkan serangan di selatan Lubnan meskipun gencatan senjata

ISTANBUL, 8 OGOS: Tentera Israel terus melancarkan serangan di beberapa kawasan di selatan Lubnan pada Sabtu, lapor Anadolu Ajansi (AA) yang memetik media kerajaan.

Menurut Agensi Berita Nasional Lubnan (NNA), bedilan artileri Israel menyasarkan kawasan hutan dan tanah tinggi Ali al-Taher di pinggir Nabatieh al-Fawqa secara berkala dari tengah malam Jumaat hingga pagi Sabtu.

Agensi itu menambah bahawa bedilan turut mengenai kawasan antara Dawha di kejiranan Kfar Rumman dan Bukit Al-Dabsha yang menghadap Nabatieh.

Menurut NNA, artileri Israel melepaskan beberapa bedilan di sekitar Al-Mansouri di daerah Tyre, mengakibatkan beberapa rumah rosak.

Pesawat pejuang Israel turut terbang rendah di ruang udara sektor tengah dan barat selatan Lubnan, namun agensi itu tidak memberikan butiran lanjut.

Serangan terbaharu itu berlaku selepas Beirut dan Tel Aviv menamatkan pusingan ketujuh rundingan yang dimudah cara Amerika Syarikat (AS) pada Khamis.

Kedua-dua negara menandatangani perjanjian rangka kerja yang dimudah cara AS pada 26 Jun, yang memperuntukkan pengunduran berperingkat tentera Israel dari wilayah Lubnan yang diduduki, bermula dengan pelaksanaan model perintis di kawasan yang ditetapkan.

Israel meneruskan operasi ketenteraan di Lubnan sejak 2 Mac.

Menurut Kementerian Kesihatan Lubnan, serangan itu telah mengorbankan 4,333 orang dan mencederakan 12,250 yang lain.

Kategoriglobal

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.