CENTHRA sedia bukti bawa kes Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa

7 Jul 2026, 1:08 PM
CENTHRA sedia bukti bawa kes Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa
CENTHRA sedia bukti bawa kes Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa

SHAH ALAM, 7 JULAI: Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA) selesai melaksanakan misi perundangan ke Lubnan bagi mengumpul bukti serta mendokumentasikan testimoni mangsa berhubung dakwaan jenayah perang Israel.

Menurut CENTHRA misi yang berlangsung dari 28 Jun hingga 5 Julai itu disertai tujuh peguam dan aktivis hak asasi manusia dengan sokongan Cinta Gaza Malaysia (CGM) serta AICT Global.

“Misi itu bertujuan mengumpul serta menilai bahan bukti, mendokumentasikan testimoni mangsa dan memperkukuh kerjasama strategik bersama rangkaian peguam antarabangsa melalui penubuhan End Impunity International Coalition.

“Ia adalah sebuah gabungan yang akan memacu usaha mendapatkan akauntabiliti terhadap jenayah yang dilakukan Israel ke atas penduduk awam di Lubnan melalui mekanisme undang-undang antarabangsa yang diiktiraf,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut CENTHRA, sepanjang di Beirut, Lubnan delegasi mengadakan siri perbincangan bersama peguam dari Lubnan, Perancis, Sepanyol dan Indonesia bagi menyelaraskan strategi litigasi rentas negara.

Perbincangan berkenaan meliputi isu bidang kuasa, standard pembuktian, perlindungan saksi serta mekanisme kerjasama antarabangsa dalam membawa kes-kes jenayah antarabangsa ke hadapan institusi kehakiman.

Delegasi Center for Human Rights Research and Advocacy (CENTHRA) menghadiri sesi perbincangan bersama peguam serta aktivis hak asasi manusia antarabangsa sempena Misi Perundangan ke Lubnan bagi memperkukuh usaha mendokumentasikan dakwaan jenayah perang. Foto CENTHRA

“Delegasi turut menemui dan merekodkan keterangan mangsa-mangsa serangan Israel di Lubnan, termasuk mereka yang kehilangan ahli keluarga, mengalami kecederaan, kehilangan tempat tinggal serta menjadi mangsa pemindahan paksa.

“Delegasi turut diberikan akses memasuki kem pelarian Palestin di Sabra, Shatila dan Burj al-Barajneh bagi mendokumentasikan testimoni pelarian Palestin yang berpotensi menjadi sebahagian daripada prosiding undang-undang antarabangsa,” katanya.

Menurutnya, angka rasmi Kementerian Kesihatan Lubnan merekodkan serangan Israel sejak 2 Mac lalu, mengorbankan sekurang-kurangnya 4,301 dan mencederakan 12,199 orang.

CENTHRA berkata semua dokumen, keterangan dan bahan bukti yang diperoleh kini melalui proses penelitian serta pengesahan bagi memastikan ia memenuhi standard pembuktian yang diperlukan dalam prosiding kehakiman antarabangsa.

“Berdasarkan penilaian awal terhadap bukti yang dikumpulkan, CENTHRA kini memasuki fasa penyediaan komunikasi di bawah Perkara 15 Statut Rom untuk dikemukakan kepada Pejabat Pendakwa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), dengan Cinta Gaza Malaysia bertindak sebagai organisasi masyarakat sivil yang mengemukakan aduan tersebut

“Di bawah Perkara 15 Statut Rom, organisasi masyarakat sivil mempunyai hak untuk mengemukakan maklumat, bukti dan analisis perundangan kepada Pendakwa ICC bagi membantu penilaian awal terhadap dakwaan jenayah antarabangsa.

“Komunikasi yang sedang disediakan akan mengemukakan analisis fakta dan undang-undang yang relevan bagi membolehkan Pendakwa menentukan sama ada wujud ambang undang-undang yang diperlukan sebelum memohon kebenaran mahkamah untuk memulakan siasatan proprio motu,” katanya.

Katanya, pendekatan itu selaras amalan Pejabat Pendakwa ICC dalam menilai komunikasi yang dikemukakan oleh organisasi masyarakat sivil dalam pelbagai situasi sebelum ini, tertakluk kepada kekuatan fakta dan bukti yang dikemukakan.

“Usaha ini berpaksikan satu prinsip yang tidak boleh dikompromi iaitu pelanggaran serius terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa tidak boleh dibiarkan tanpa penyiasatan yang bebas, menyeluruh dan berkesan.

“Dokumentasi yang teliti, pemeliharaan integriti bukti serta kerjasama rentas bidang kuasa merupakan asas penting bagi memastikan mangsa mendapat akses kepada keadilan dan budaya impuniti terhadap jenayah antarabangsa dapat dihentikan,” katanya.

Delegasi Center for Human Rights Research and Advocacy (CENTHRA) bergambar bersama rakan perundangan antarabangsa selepas mengadakan siri perbincangan berkaitan usaha membawa dakwaan jenayah perang ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC). Foto CENTHRA

Sehubungan itu, CENTHRA menyeru Kerajaan Malaysia supaya memberikan sokongan diplomatik dan institusi kepada usaha akauntabiliti antarabangsa, termasuk memudah cara kerjasama perundangan, pemeliharaan bukti serta sokongan terhadap inisiatif masyarakat sivil yang menggunakan saluran undang-undang antarabangsa.

“Profesion guaman Malaysia, fakulti undang-undang, penyelidik dan badan peguam untuk bersama-sama menyumbang kepakaran dalam penyelidikan, penyediaan analisis undang-undang, dokumentasi bukti dan litigasi strategik bagi memperkukuhkan usaha ini.

“Pertubuhan masyarakat sivil, institusi akademik dan organisasi hak asasi manusia supaya berganding bahu membina jaringan kerjasama yang lebih kukuh dalam usaha mendokumentasikan pencabulan hak asasi manusia serta memperjuangkan keadilan melalui saluran undang-undang.

“Masyarakat antarabangsa, khususnya negara-negara pihak kepada Statut Rom, supaya memberikan kerjasama penuh kepada semua mekanisme akauntabiliti antarabangsa dan memastikan tiada individu yang bertanggungjawab terhadap jenayah perang, jenayah terhadap kemanusiaan atau jenayah lain di bawah undang-undang antarabangsa terlepas daripada proses keadilan,” katanya.

Tegasnya, perjuangan mendapatkan keadilan bukan sekadar tanggungjawab mangsa atau organisasi hak asasi manusia, tetapi merupakan tanggungjawab bersama masyarakat antarabangsa dalam mempertahankan kedaulatan undang-undang dan maruah manusia.

“CENTHRA turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua mangsa dan saksi yang telah berkongsi pengalaman mereka dengan penuh keberanian, kepada rakan-rakan perundangan antarabangsa yang terus memberikan komitmen, serta kepada Cinta Gaza Malaysia dan AICT Global atas sokongan dalam menjayakan misi ini,” katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.