SHAH ALAM, 8 OGOS: Kerajaan Selangor akan mengadakan pertemuan dengan kira-kira 400 pekerja Panasonic Malaysia Sdn Bhd yang terjejas susulan penutupan operasi pengeluaran televisyen oleh Panasonic AVC Networks Kuala Lumpur Malaysia Sdn. Bhd. (PAVCKM), minggu depan.
Dato’ Menteri Besar berkata pertemuan itu akan disertai EXCO Sumber Manusia V. Papparaidu dan wakil Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi mengenal pasti bentuk bantuan serta peluang pekerjaan baharu yang bersesuaian dengan kemahiran dan pengalaman pekerja terbabit.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, Kerajaan Negeri memberi perhatian serius terhadap nasib pekerja berkenaan bagi memastikan mereka tidak terputus sumber pendapatan susulan penutupan operasi syarikat.
“Baru-baru ini ada 400 orang yang mungkin terkesan di Panasonic. Minggu depan YB V Papparaidu (EXCO Sumber Manusia) dan PERKESO akan jumpa dengan kumpulan terbabit, mencari dan juga menawarkan sokongan yang diperlukan terutamanya di saat kemungkinan kilang mereka ditutup.
“Langkah intervensi awal ini bukan sahaja hanya bantuan seperti bakul makanan. Itu sudah pasti kita akan buat tetapi juga mencari pekerjaan untuk mereka supaya mereka boleh menyambung kehidupan mereka yang telah dibina bertahun-tahun dalam negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Karnival Kerjaya Mega Jobcare Selangor 2026 bersama MyFutureJobs di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini hari ini.
Sementara itu, Papparaidu berkata kerjasama dengan PERKESO akan membantu pekerja terjejas mendapatkan perlindungan kewangan sekiranya berlaku pemberhentian kerja, selain sokongan untuk mendapatkan pekerjaan baharu.
Katanya, antara bantuan yang boleh dimanfaatkan ialah Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) menerusi Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) PERKESO, yang menyediakan bayaran secara berperingkat kepada pencarum yang kehilangan pekerjaan.
“Yang paling penting adalah PERKESO memberikan sejenis insurans, di mana jika mereka diberhentikan kerja dan tidak mempunyai pekerjaan, mereka akan dibayar secara beberapa peringkat.
“Ia seperti elaun mencari pekerjaan, bermula dengan 80 peratus daripada gaji mereka pada bulan pertama, 50 peratus pada bulan kedua dan seterusnya 30 peratus.
“Jadi ini adalah sejenis produk oleh PERKESO yang banyak membantu orang ramai, khususnya rakyat Selangor yang akan berdepan dengan pemberhentian kerja. Saya berharap kita melakukan yang terbaik untuk menyelesaikan isu ini,” katanya.
Sebelum ini, Panasonic memaklumkan operasi pengeluaran televisyen oleh PAVCKM akan ditutup bermula September ini, yang dijangka memberi kesan kepada kira-kira 400 pekerja.
Syarikat itu turut memaklumkan pengeluaran produk audio Hi-Fi berjenama Technics akan dihentikan pada akhir Februari tahun depan.
Bagaimanapun, Panasonic berkata pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa, agensi kerajaan serta Kesatuan Pekerja Industri Elektrik (EIWU) bagi memastikan pekerja terjejas mendapat sokongan, termasuk bantuan pertukaran penempatan pekerjaan dan peralihan kerjaya.







