SHAH ALAM, 9 OGOS: Rancangan Selangor Kedua (RS-2) disusun untuk memastikan setiap keluarga di Selangor menikmati limpahan kemajuan negeri dengan adil dan saksama, kata Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari.
Jelas beliau, keadilan adalah persoalan penting yang muncul sepanjang zaman dan dibahaskan dalam semua peradaban.
“Setiap tamadun yang besar mewariskan kepada generasi selepasnya bukan sekadar monumen, istana atau kekayaan. Ia mewariskan satu persoalan: keadilan sebagai asas sebuah tamadun,” katanya, dalam ucapan membuka pembentangan Rancangan Selangor Kedua (RS-2) di Dewan Negeri Selangor, Jumaat lalu
Ucapannya menggali makna keadilan yang dikupas oleh ahli falsafah Yunani, Aristotle, sampailah kepada pemikir moden, John Rawls dan Amartya Sen.
Beliau juga meneliti persoalan sama yang dihuraikan oleh Ibnu Khaldun dalam karya terkenalnya Muqaddimah serta Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu karya Tun Seri Lanang yang berpijak di alam Melayu.
Tambahnya, gagasan ekonomi manusiawi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut merangkul kesemua kelima-lima pemikiran itu.
Menurut Amirudin, beliau melihat ada satu ikatan yang menarik dalam semua pemikiran itu, yang merentas tamadun dan peradaban.
“Maka persoalannya sekarang bukan lagi apakah itu keadilan?
“Persoalannya adalah, bagaimanakah kita menterjemahkan keadilan itu menjadi dasar? Bagaimanakah kita menterjemahkan falsafah menjadi tindakan?
“Bagaimanakah kita memastikan citacita itu dirasai oleh setiap keluarga di Selangor?
“Jawapan kepada persoalan itulah yang melahirkan Rancangan Selangor Kedua,” katanya.
RS-2 yang berjalan bagi tempoh tahun 2026 hingga 2030 menetapkan enam kerangka misi merangkumi 25 bidang keutamaan dengan 98 inisiatif adalah lanjutan daripada RS-1 yang bermula pada tahun 2021.
Ia disusun untuk memacu ekonomi negeri dengan memastikan antaranya pembangunan daerah yang seimbang, menjadikan Selangor negeri penyayang dan berdaya huni, serta menjamin penyampaian kerajaan yang berkesan dan mesra rakyat.
Maklumat berkaitan RS-2 boleh dimuat turun melalui pautan ini atau ini.







