NEW YORK, 8 OGOS: Wanita dan kanak-kanak terus menanggung kesan teruk akibat wabak Ebola di wilayah timur Ituri di Republik Demokratik Congo (DRC), kata pegawai kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat, lapor Xinhua.
Wabak Ebola sedang berlaku di Ituri, iaitu hampir satu juta orang kehilangan tempat tinggal, kira-kira 80 peratus daripadanya wanita dan kanak-kanak, kata Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA).
Menurut Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF), kanak-kanak mewakili hampir satu pertiga daripada jumlah kematian, walaupun mereka menyumbang hampir satu perempat daripada kes yang disahkan.
Wabak tersebut juga sangat menjejaskan sektor penjagaan kesihatan. Di kawasan paling teruk dilanda Ebola di wilayah Ituri, penggunaan perkhidmatan kesihatan telah menurun lebih 40 peratus dalam beberapa bulan kebelakangan ini, kerana ketakutan terhadap jangkitan telah menghalang orang ramai (untuk pergi ke fasiliti kesihatan), menurut UNICEF.
Dana Penduduk PBB memberi amaran bahawa ketakutan terhadap Ebola dan perkhidmatan kesihatan yang berlebihan menghalang ramai wanita hamil daripada mendapatkan rawatan.
Kematian ibu di Ituri meningkat hampir dua kali ganda sejak wabak itu bermula, dengan purata kira-kira enam wanita meninggal dunia setiap minggu akibat komplikasi berkaitan kelahiran.
Jangkitan Ebola semasa kehamilan juga kekal dikaitkan dengan kehilangan janin. OCHA menegaskan bahawa memulihkan keyakinan masyarakat ialah kunci bagi menyelesaikan isu itu.
UNICEF dan rakan kongsinya, bersama Kementerian Kesihatan Awam DRC, Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Afrika, telah mengerahkan 13,000 pekerja komuniti dan kakitangan lain, menjangkau lebih 2.4 juta orang, dengan mesej mengenai pencegahan dan pengesanan awal Ebola.
Mereka juga telah melakukan lebih 500,000 lawatan isi rumah untuk membetulkan maklumat salah dan menggalakkan orang ramai mendapatkan rawatan awal.







