Kes Ebola di Congo cecah 933, angka kematian meningkat kepada 245

20 Jun 2026, 2:54 PM
Kes Ebola di Congo cecah 933, angka kematian meningkat kepada 245

KINSHASA, 20 JUN: Jumlah kes Ebola disahkan di Republik Demokratik Congo (DRC) kini meningkat kepada 933 kes termasuk 245 kematian, menurut Menteri Kesihatan Roger Kamba, lapor Agensi Berita Xinhua.

Kamba dalam satu taklimat media di Bunia, ibu kota Wilayah Ituri pada Jumaat memaklumkan bahawa angka terbaharu itu menunjukkan kadar kematian kes adalah sekitar 26 peratus sejak wabak itu mula menular.

Beliau berkata seramai 416 pesakit kini sedang dirawat di pusat rawatan Ebola, manakala 80 orang telah pulih dan dibenarkan keluar hospital.

Menteri itu berkata peningkatan kes yang dilaporkan sememangnya telah dijangka memandangkan pasukan tindak balas kini sedang mempergiat usaha mengesan kes aktif, selain semakin ramai pesakit yang tampil secara sukarela untuk mendapatkan rawatan berbanding hanya tinggal di dalam komuniti sebelum ini.

"Semakin kami mempertingkat langkah tindak balas, semakin banyak kes yang akan kita kesan kerana kami kini sedang giat mencari mereka yang dijangkiti," kata Kamba.

Beliau berkata kapasiti rawatan juga telah ditingkatkan kepada lebih 516 katil, dengan kemudahan tambahan sedang disediakan bagi menampung kes yang masih berada dalam komuniti serta menguruskan kes disyaki sementara menunggu keputusan makmal.

"Satu perkembangan yang amat penting apabila pesakit kini mula tampil dengan sendiri," kata Kamba sambil menambah bahawa tindakan mengasingkan pesakit yang dijangkiti daripada komuniti akan membantu pihak berkuasa mengawal wabak itu dalam tempoh jangka panjang.

Wabak yang berpunca daripada virus Ebola spesies Bundibugyo itu diisytiharkan oleh pihak berkuasa DRC pada 15 Mei lepas. Wilayah Ituri menjadi pusat utama penularan wabak berkenaan, yang turut menjejaskan beberapa wilayah lain di bahagian timur negara itu.

Kategoriglobal

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.