Wabak Ebola di Congo cecah 2,400 kes, hampir 1,000 maut - WHO

21 Jul 2026, 3:15 PM
Wabak Ebola di Congo cecah 2,400 kes, hampir 1,000 maut - WHO

GENEVA, 21 JULAI: Wabak Ebola yang berpunca daripada virus Bundibugyo di Republik Demokratik Congo terus merebak dengan 2,423 kes disahkan, termasuk 967 kematian dan 469 pesakit pulih, lapor Anadolu Ajansi (AA) yang memetik seorang pegawai Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Selasa.

Pengurus insiden WHO bagi tindak balas penyakit virus Bundibugyo, Thierno Balde, memberitahu wartawan di Geneva bahawa wabak itu kini telah merebak ke lima wilayah, dengan Ituri kekal sebagai pusat penularan, merangkumi 89.1 peratus daripada keseluruhan kes dan 83.9 peratus daripada jumlah kematian.

Walaupun jumlah kes terus meningkat, Balde berkata pihak berkuasa kesihatan kini mempunyai pemahaman yang lebih baik mengenai corak penularan wabak itu dan sedang menyesuaikan langkah tindak balas sewajarnya.

"Wabak ini masih mendahului usaha kami dan kami masih berada dalam fasa mengejar penularannya," katanya.

Beliau berkata WHO telah mengenal pasti tiga corak penularan yang berbeza, iaitu penularan berintensiti tinggi yang masih berlaku di Bunia dan kawasan sekitarnya, penularan baharu di beberapa lokasi termasuk Kisangani, Haut-Uele, Katwa dan Butembo, serta tanda-tanda penstabilan di Mongbwalu, lokasi wabak itu mula dikesan, selain di Goma.

Beliau berkata pasukan tindak balas pantas yang ditempatkan di Kisangani setakat ini berjaya menghalang penularan sekunder, dengan kesemua lima kes yang dilaporkan di bandar itu merupakan kes import dari Ituri. Pelan serupa akan diperluas ke Haut-Uele, Katwa, Butembo dan kawasan lain yang menunjukkan penularan baharu.

"Kami memberi keutamaan kepada peluasan pengebumian yang selamat dan bermaruah, sistem rujukan serta keupayaan pengurusan klinikal di kawasan yang mencatat penularan paling aktif," katanya.

Kategoriglobal

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.