SHAH ALAM, 8 OGOS: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyifatkan kelulusan tiga rang undang-undang (RUU) sebagai langkah penting memperkukuh pentadbiran agama Islam dan institusi kehakiman Syariah di negeri ini.
Tiga undang-undang berkenaan diluluskan Dewan Negeri Selangor pada 4 hingga 6 Ogos lalu sempena Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor.
Ia membabitkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor (Pindaan) 2026, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) (Pindaan) 2026 dan Enakmen Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2026.
MAIS dalam kenyataan dikeluarkan, berkata kelulusan ketiga-tiga undang-undang itu adalah agenda penting yang diusulkan bersama Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) dan Jabatan Mufti Negeri Selangor dalam usaha memperkukuh pentadbiran agama Islam serta institusi kehakiman Syariah.

Menurutnya, pindaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 2026 memperjelas bahawa agama Islam di Selangor berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah, selain memperuntukkan secara khusus penubuhan Mahkamah Syariah dalam undang-undang tertinggi negeri.
Pada masa sama, Enakmen Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2026 mengawal selia penubuhan, struktur, bidang kuasa dan pentadbiran Mahkamah Syariah di Selangor.
Kedua-dua undang-undang berkenaan turut memperkukuh kedudukan Mahkamah Syariah sebagai institusi kehakiman yang bebas, berwibawa dan diyakini.
Struktur Mahkamah Syariah negeri kini dilengkapkan dengan empat peringkat, iaitu Mahkamah Utama Syariah sebagai mahkamah tertinggi dalam hierarki Mahkamah Syariah Selangor, diikuti Mahkamah Rayuan Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rendah Syariah.
Sementara itu, pindaan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2026 juga bertujuan memperkukuh kerangka pentadbiran agama Islam menerusi punca kuasa statutori yang lebih jelas kepada MAIS.
Ia termasuk pelaksanaan perkhidmatan bantuan guaman dan pengantaraan, penulisan wasiat dan hibah serta bantuan dan perkhidmatan lain bagi menyokong kesejahteraan serta pembangunan sosial masyarakat Islam di Selangor.
Pindaan berkenaan turut memberikan kuasa yang lebih jelas kepada MAIS dalam pengurusan dan pembahagian harta pusaka orang Islam bagi membantu menyelesaikan isu harta pusaka beku.

Selain itu, tatacara pembuatan fatwa berkaitan isu nasional turut diselaraskan menerusi pindaan berkenaan.
MAIS berkata pengusulan ketiga-tiga undang-undang itu mencerminkan komitmennya untuk memperkasa pentadbiran agama Islam di Selangor.
Pihak berkuasa utama agama Islam di Selangor itu turut mengharapkan undang-undang itu akan memberikan manfaat besar kepada masyarakat Islam serta menambah keyakinan masyarakat terhadap institusi pentadbiran agama Islam dan sistem kehakiman Syariah di Selangor, menurut kenyataan lagi.
MAIS turut merakamkan penghargaan kepada semua Ahli Dewan Negeri yang membahaskan RUU berkenaan dengan teliti dan profesional, selain pihak yang terlibat dalam penyediaan serta penelitian ketiga-tiga undang-undang tersebut.
Tambah kenyataan lagi, MAIS akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Negeri dan semua agensi berkaitan bagi memastikan pelaksanaan ketiga-tiga undang-undang itu berjalan dengan berkesan.







