SHAH ALAM, 7 OGOS: Rancangan Selangor Kedua (RS-2) bukan hanya satu pelan pembangunan negeri untuk tempoh lima tahun sehingga 2030 tetapi adalah ikrar kerajaan negeri kepada semua rakyat Selangor untuk masa depan yang lebih baik, kata Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari.
“Ia adalah ikrar bahawa kita akan terus melabur dalam ilmu, penyelidikan, inovasi dan modal insan. Ia adalah ikrar bahawa pertumbuhan ekonomi tidak boleh dipisahkan daripada keadilan sosial.
“Ia adalah ikrar bahawa setiap anak di Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Kuala Langat, Sepang, Petaling, Gombak dan Hulu Langat berhak melihat masa depan dengan penuh keyakinan,” katanya.
Dalam pembukaan ucapannya membentangkan RS-2 di Dewan Negeri Selangor hari ini, Amirudin menggariskan konsep keadilan sebagai asas falsafah dasar dan pelan pembangunan yang dirancang untuk lima tahun ini.
Beliau memetik buah pemikiran cendekiawan dunia mengenai keadilan dan kenegaraan, dari tamadun Yunani sampailah ke dunia moden serta rumusan daripada tamadun Islam dan alam Melayu.
“Saya menegaskan keadilan bukan sekadar cita-cita moral.
“Keadilan ialah strategi pembangunan kerana daripada keadilan lahirnya kepercayaan,” katanya.
Jelas Amirudin, dengan kepercayaan itulah juga akan wujudnya keyakinan, pelaburan, serta pekerjaan, dan seterusnya, melahirnya masyarakat yang bermaruah dan punya masa depan.
“Inilah rantaian kemakmuran yang sebenar,” tambahnya.
RS-2 berhasrat antara lain menjadikan Selangor negeri pertama di Malaysia dengan ekonomi bernilai RM500 bilion, menawarkan peluang pekerjaan bergaji tinggi kepada rakyat serta merapatkan jurang ekonomi antara semua sembilan daerahnya.
Maklumat berkaitan RS-2 boleh dimuat turun melalui pautan https://www.amirudinshari.com/rs2 atau https://www.selangor.gov.my/rs2








