KUANTAN, 7 OGOS: Pasangan suami isteri antara 1,209 individu yang ditahan positif dadah dalam Operasi Cegah Khas Bilangan 1 Tahun 2026 yang dilaksanakan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di seluruh negara bermula Selasa hingga semalam.
Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK Mahadzir Elias berkata pasangan berusia 59 dan 67 tahun itu ditahan dalam operasi di Pahang serta dikategorikan sebagai penagih baharu.
“Walaupun mereka dikategorikan sebagai penagih baharu, siasatan mendapati mereka sebenarnya telah terlibat dengan penyalahgunaan dadah selama hampir 30 tahun, namun tidak pernah dikesan atau ditahan sebelum ini,” katanya pada sidang media di AADK Pahang di sini hari ini.
Mahadzir berkata sepanjang operasi itu, sebanyak 1,606 individu ditahan di seluruh negara, dengan 1,209 daripadanya didapati positif dadah manakala 397 lagi ditahan kerana gagal hadir jamin serta melanggar syarat rawatan dan pemulihan.
Beliau berkata daripada 1,209 individu positif dadah, 1,153 adalah lelaki dan 56 wanita, dengan kumpulan umur 19 hingga 40 tahun merekodkan jumlah tertinggi, iaitu 716 orang atau 59.2 peratus.
“Dari segi jenis dadah, methamphetamine kekal menjadi bahan yang paling banyak disalahgunakan melibatkan 799 individu atau 66.1 peratus, diikuti opiat seperti heroin dan morfin sebanyak 192 orang, ketum 112 orang dan ganja 52 orang,” katanya.
Mahadzir ketika mengulas mengenai operasi di Pahang berkata sebanyak 254 individu ditahan manakala 191 individu didapati positif dadah.
Beliau berkata daripada jumlah itu, 183 ialah lelaki dan lapan wanita, dengan methamphetamine terus menjadi dadah paling dominan melibatkan 145 kes atau 75.9 peratus.
Menurut Mahadzir, daerah Kuantan merekodkan tangkapan tertinggi dengan 67 individu, diikuti Rompin dengan 28 individu.
“AADK Pahang turut memberikan tumpuan kepada kawasan Felda apabila 66 individu didapati positif dadah di enam daerah, selain mengesan penyalahgunaan dadah dalam kalangan masyarakat Orang Asli menerusi operasi di Rancangan Penempatan Semula (RPS) Runchang, Muadzam Shah yang membawa kepada penahanan 12 individu.
“Gejala penagihan dalam kalangan Orang Asli juga agak membimbangkan dan mungkin fokus kumpulan AADK selepas ini adalah pendidikan pencegahan kepada komuniti ini,” katanya.









