Maritim Selangor gagalkan cubaan 78 PATI masuk negara

31 Jan 2026, 3:56 AM
Maritim Selangor gagalkan cubaan 78 PATI masuk negara
Maritim Selangor gagalkan cubaan 78 PATI masuk negara

KLANG, 31 JAN: Cubaan 78 pendatang asing tanpa izin (PATI) menceroboh masuk ke negara ini melalui laluan laut berakhir gagal apabila mereka ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor dalam satu operasi awal pagi semalam.

Kesemua yang ditahan berusia antara 14 hingga 60 tahun, terdiri daripada 77 warga Indonesia dan seorang warga Bangladesh, dikesan menaiki sebuah bot pom-pom di kedudukan tiga batu nautika barat daya Sungai Air Tawar, Bagan Nakhoda Omar.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Malaysia Selangor, Komander Maritim Mohd Fairusnizam Abdul Razak, berkata tangkapan dibuat kira-kira 3.30 pagi hasil maklumat risikan mengenai pergerakan bot dari Jeti Nelayan Batu Bara, Indonesia, yang disyaki membawa PATI masuk ke negara ini.

-Timbalan Pengarah Operasi Maritim Selangor Mohd Fairusnizam Abdul Razak berucap ketika Sidang media berkenaan tangkapan pati di perairan Selangor di Ibu Pejabat Maritim Selangor, Klang Pada 31 Januari 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

“Hasil serbuan menemukan sekumpulan PATI duduk berhimpit di dalam bot yang sepatutnya membawa barangan sahaja. Pemeriksaan menemukan 49 lelaki dan 29 wanita cuba masuk ke Malaysia secara haram.

“Ketika serbuan, seorang lelaki dipercayai tekong sempat melarikan diri dengan bertindak terjun ke laut. Siasatan awal mendapati semua ditahan bergerak dari Indonesia jam 8 malam dan dikenakan bayaran antara RM2,500 hingga RM1,500,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Maritim Selangor di sini, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana keluar masuk negara melalui laluan tidak diwartakan dan tanpa dokumen sah serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

“Kita akan terus meningkatkan pengoperasian dan penguatkuasaan di perairan negara seiring gesaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar setiap agensi penguatkuasaan melaksanakan amanah dan tanggungjawab.

“Usaha tidak tertumpu dalam membanteras cubaan masuk atau keluar PATI secara haram, malah akan mempergiat tindakan terhadap sebarang bentuk jenayah rentas sempadan termasuk penyeludupan, pemerdagangan manusia dan kegiatan jenayah terancang di laut,” katanya.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Selangor Mohd Fairusnizam Abdul Razak menyoal salah seorang tahanan selepas Sidang media berkenaan tangkapan pendatang asing tanpa izin (PATI) di perairan Selangor di Ibu Pejabat Maritim Selangor, Klang Pada 31 Januari 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Sementara itu, individu ditahan dikenali sebagai Mahmud,31, berkata beliau masuk ke Malaysia menggunakan jalan laut untuk pulang bekerja di kilang makanan sejuk beku di Johor.

“Saya pulang ke Bangladesh pada November dan ke Medan untuk bernikah pada Disember lepas. Isteri menguruskan semua bayaran dengan membayar 5juta rupiah (RM1,170)," katanya.