PELABUHAN KLANG, 25 NOV: Lima pemancing yang dilaporkan hilang selepas bot fiber dinaiki mereka terbalik akibat cuaca buruk ditemui selamat di sangkar ikan berhampiran Pulau Ketam, di sini semalam.
Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata insiden berlaku selepas kumpulan itu keluar menangkap ikan kelmarin sebelum dilaporkan tidak pulang ke pangkalan dan gagal dihubungi.
Menurut beliau, Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor menerima laporan awal daripada ahli keluarga mangsa, Mohd Redzuan, yang memaklumkan kehilangan bot berkenaan.
"Pada jam 12.50 tengah hari semalam, komuniti maritim melaporkan penemuan sebuah bot fiber terbalik kira-kira 1.5 batu nautika barat daya Pulau Ketam, dipercayai bot dinaiki lima mangsa tersebut.
"Susulan itu, dua aset Maritim Malaysia digerakkan ke lokasi untuk pencarian awal," katanya menerusi kenyataan.
Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru kemudiannya mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) pada jam 1 tengah hari semalam dan Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) ditubuhkan di jeti nelayan Kampung Telok Nipah, di sini.
Pada jam 4.47 petang, Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor menerima maklumat daripada seorang individu dikenali sebagai Anuar yang memaklumkan lima mangsa ditemui di sangkar ikan di perairan Pulau Ketam.
Kesemua mangsa terdiri daripada empat warga tempatan dan seorang warganegara Indonesia berusia 23 hingga 57 tahun berada dalam keadaan selamat.
Kelima-limanya dibawa ke jeti nelayan Kampung Telok Nipah menggunakan bot Penggalang 31 dan tiba pada jam 5.50 petang. Dua mangsa mengalami kecederaan kaki akibat disengat ikan.
Salah seorang mangsa memaklumkan insiden berlaku apabila bot mereka terbalik kerana cuaca buruk menyebabkan mereka berenang ke sangkar ikan berhampiran untuk menyelamatkan diri.
Semua mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR) untuk tindakan lanjut, manakala Operasi CARILAMAT ditamatkan pada jam 6.30 petang.




