SHAH ALAM, 24 OGOS: Seorang lelaki berusia 62 tahun direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes mendatangkan kecederaan parah terhadap jirannya yang berusia 80 tahun.
Suspek didakwa memukul jirannya menggunakan batang besi dalam kejadian di Jalan Perak, Georgetown, Pulau Pinang pagi semalam, lapor Berita Harian.
Majistret Nurhanisah S H Sahul Hamid membenarkan perintah reman bermula hari ini sehingga Ahad depan bagi membolehkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Semalam media melaporkan, dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu mangsa dipercayai dipukul suspek menggunakan sebatang besi di hadapan rumahnya selepas berlaku perselisihan faham antara kedua-dua mereka.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad dilapor berkata, susulan insiden itu mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian tangan dan kaki dan masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).
Abdul Rozak berkata, polis kemudiannya berjaya menahan suspek dan merampas batang besi yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut di rumahnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata.
Terdahulu, kejadian itu turut tular di media sosial menerusi video berdurasi 15 saat yang memaparkan mangsa dalam keadaan terbaring selepas suspek yang datang dengan menunggang motosikal dikatakan memukulnya dengan batang besi berulang kali.







