SHAH ALAM, 9 JULAI: Atlet e-sukan Selangor kini giat menjalani persiapan terakhir menjelang Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 dengan memberi fokus kepada aspek kemahiran, strategi dan kekuatan mental bagi menghadapi saingan.
Bagi atlet e-Simulator Racing, Sophia Zahra Mustafa Kamal, 16, pengalaman dalam sukan permotoran sejak kecil menjadi kelebihan untuk menghadapi cabaran baharu dalam arena e-sukan.
Sophia yang mula terlibat dalam sukan itu sejak tahun lalu berkata beliau menjalani latihan secara konsisten dengan memberi tumpuan kepada pelbagai kombinasi litar dan kereta bagi meningkatkan kemahiran.
"Saya biasanya berlatih sekitar tiga jam pada hujung minggu kerana masih bersekolah. Jika ada masa pada hari biasa, saya akan berlatih menggunakan simulator di rumah selama satu hingga dua jam," katanya.

Anak sulung daripada dua beradik itu berkata beliau mula terdedah dengan dunia permotoran sejak berusia lima tahun sebelum memperoleh lesen perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang ketika berusia 15 tahun.
Katanya, pengalaman mengendalikan kereta sebenar membantu beliau memahami aspek teknikal dalam perlumbaan maya, namun e-Simulator Racing tetap memerlukan fokus mental yang tinggi.
Beliau yang pernah menduduki tempat ketiga dalam kejohanan Rakan Muda Women's e-sports Simulator Racing berharap mampu menghadiahkan pingat emas kepada Selangor pada penampilan sulung acara itu di SUKMA.

Sementara itu, atlet e-Chess Kavin Mohan, 15, berkata beliau menjalani latihan setiap hari menerusi latihan taktikal, membaca buku catur dan berbincang bersama jurulatih bagi memperbaiki kelemahan permainan.
Kavin yang turut menyertai acara catur fizikal dalam SUKMA 2026 bukan nama asing dalam arena catur apabila pernah mewakili Malaysia di beberapa kejohanan antarabangsa dan berpengalaman beraksi dalam pertandingan catur.
"Saya cuba berlatih sekitar tiga jam sehari, belajar daripada kelemahan dan berbincang dengan jurulatih tentang perkara yang boleh diperbaiki seterusnya berharap dapat menyumbang pingat emas kepada Selangor.
“Format e-chess dan catur fizikal agak berbeza dan itu cabaran yang perlu saya tempuhi,” katanya.

Bagi atlet Mobile Legends Bang Bang (MLBB) wanita Selangor, Nur Alia Fadillah Muhammad Fadil, 21, berkata pasukannya menjalani latihan setiap malam dari jam 8 hingga 10 malam bagi meningkatkan keserasian dan prestasi menjelang kejohanan.
Katanya, cabaran terbesar atlet e-sukan ialah aspek mental kerana pemain perlu berdepan tekanan, teguran jurulatih serta memastikan komunikasi antara rakan sepasukan sentiasa baik.
"Kami perlu kuat dari segi mental kerana tekanan memang ada dalam permainan ini. Kami perlu belajar daripada kesilapan dan terus memperbaiki diri.
“Untuk SUKMA Selangor sudah pasti mahu kumpulan saya bawa balik emas untuk Selangor dan saya mengharapkan kejuaraan untuk kumpulan saya jadi akan cuba yang terbaik,” katanya.
Sementara itu, jurulatih MLBB Selangor, Muhammad Faris Badrul Zaman, 21 berkata beliau yakin dengan kemampuan barisan pemain yang dipilih meskipun mereka datang daripada latar belakang berbeza.
Beliau yang berpengalaman di pentas antarabangsa dan merupakan antara barisan kejurulatihan skuad negara yang memenangi emas Sukan SEA 2025 Thailand dalam acara itu, fokus utama ketika ini ialah membentuk keserasian pasukan, memperkemas strategi dan memastikan pemain bersedia dari segi mental.
"Saya percaya dengan kemampuan pemain yang saya pilih. Mereka datang daripada latar belakang berbeza, tetapi selagi semua mempunyai sasaran sama, mereka mampu bermain sebagai satu pasukan," katanya.
Acara e-sukan bagi SUKMA 2026 dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di Taman Melawati pada 19 hingga 24 Ogos.
SUKMA Selangor 2026 dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos, manakala PARA SUKMA 2026 akan diadakan pada 5 hingga 14 September.
Sebanyak 469 acara daripada 37 jenis sukan akan dipertandingkan di sembilan daerah melibatkan 52 venue, manakala PARA SUKMA membabitkan 10 jenis sukan dengan 316 acara.








