Program reformasi pilih 10 sekolah terbaik setiap daerah, terima peruntukan RM100,000

5 Ogos 2026, 12:58 PM
Program reformasi pilih 10 sekolah terbaik setiap daerah, terima peruntukan RM100,000

KUALA SELANGOR, 5 OGOS: Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) bertanggungjawab mengenal pasti sekolah di setiap daerah untuk menyertai program reformasi sekolah kendalian Kementerian Pendidikan (KPM).

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata 10 sekolah cemerlang merangkumi lima sekolah rendah dan lima sekolah menengah dipilih di setiap daerah berdasarkan penilaian akademik, kokurikulum serta sahsiah murid.

"PPD akan menyerahkan senarai 10 sekolah cemerlang ini kepada JPN dan selepas itu, JPN pula akan bagi senarai ini kepada KPM untuk proses seterusnya.

"Pemilihan sekolah ini telah pun dilakukan dan kini telah sampai ke fasa pelaksanaan selepas dimuktamadkan," katanya pada sidang media Majlis Pecah Tanah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Eco Grandeur yang disempurnakan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek di Puncak Alam, di sini hari ini.

Beliau berkata pemilihan sekolah terbabit bertujuan memacu semangat untuk meningkatkan mutu akademik serta sahsiah murid, sekali gus membolehkan setiap sekolah yang terpilih menerima peruntukan khas berjumlah RM100,000.

Wong berkata langkah berkenaan turut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memartabatkan agenda pendidikan negara serta memperkasakan pembangunan modal insan.

"Melalui program ini, kita mahu memastikan pengurusan dan sistem sokongan sekolah dapat dipertingkatkan demi kebaikan seluruh warga sekolah.

“Pendekatan ini juga menyokong usaha KPM dalam membina persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif serta berkesan," katanya.

Terdahulu, program reformasi sekolah yang diumumkan pada 27 Julai lalu merangkumi pembaharuan menyeluruh dari segi cara kerja, kaedah pengajaran, penjagaan kesihatan mental serta kesejahteraan warga sekolah secara inklusif.

Wong berkata pelaksanaan inisiatif itu juga diharap dapat meningkatkan kemenjadian murid dan mengangkat martabat sekolah di seluruh negara menerusi pengurusan yang lebih tersusun.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.