Selangor harap jadi negeri terakhir tidak terima peruntukan SUKMA

6 Ogos 2026, 2:00 AM
Selangor harap jadi negeri terakhir tidak terima peruntukan SUKMA
Selangor harap jadi negeri terakhir tidak terima peruntukan SUKMA

SHAH ALAM, 6 OGOS: Selangor berharap menjadi negeri terakhir yang tidak menerima peruntukan selaku tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.

EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi, berkata, sebagai temasya sukan di bawah Majlis Sukan Negara (MSN), sewajarnya tuan rumah menerima bantuan kewangan Persekutuan.

"Negeri-negeri membantu menjayakan SUKMA sebagai tuan rumah. Jadi sewajarnya ada sedikit komitmen atau peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan untuk membantu negeri penganjur.

"Bila tiada peruntukan, isu sebenar bukan soal jumlahnya, tetapi ia mewujudkan satu preseden yang kurang baik. Negeri-negeri lain mungkin melihat pengalaman Selangor ini sebagai sebab untuk tidak lagi menawarkan diri menjadi tuan rumah pada masa depan.

"Kita tidak mahu perkara itu berlaku. Tradisinya SUKMA dianjurkan secara bergilir antara negeri. Selepas Selangor, kita berharap negeri-negeri lain yang menjadi tuan rumah tidak mengalami nasib sama sehingga terpaksa menggunakan peruntukan sendiri sepenuhnya," katanya ketika dihubungi Media Selangor, semalam.

EXCO Sukan Najwan Halimi menjawab soalan di Persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 5 Ogos 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM / MEDIA SELANGOR

Beliau berkata demikian ketika dihubungi bagi menjelaskan jawapannya kepada soalan tambahan wakil rakyat Kota Damansara Izuan Kasim pada sidang Dewan Negeri, semalam, tentang ketiadaan dana atau geran Persekutuan bagi penganjuran SUKMA 2026.

“Keadaan ini tidak begitu sihat kerana penganjuran Sukma seharusnya turut menerima peruntukan daripada kerajaan persekutuan,” katanya.

Tambahnya, ketiadaan peruntukan kepada Selangor turut dipersoalkan wakil beberapa negeri dalam mesyuarat bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kerana negeri lain yang pernah menjadi tuan rumah menerima bantuan kewangan bagi penganjuran temasya berkenaan.

"Exco-exco negeri lain memang menyuarakan perkara ini. Banyak negeri seperti Perak dan Pahang bertanya kenapa Selangor tidak menerima peruntukan.

"SUKMA bukan untuk Selangor sahaja, tetapi temasya sukan kebangsaan yang melibatkan semua negeri. Sebab itu mereka juga mengambil berat mengenai perkara ini."

Jelasnya, kebanyakan negeri sebelum ini menerima peruntukan sekitar RM50 juta atau lebih daripada KBS bagi membantu persiapan menghadapi temasya dwitahunan itu.

Semalam, Najwan pada sidang DUN Selangor turut berkata yang kos penganjuran berjaya dikurangkan daripada RM203 juta kepada sekitar RM50 juta menerusi langkah penjimatan yang diperkenankan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, tanpa menjejaskan standard pertandingan mahupun kebajikan atlet.

"Tumpuan kita ialah kepada keperluan asas penganjuran seperti venue pertandingan dan kemudahan berkaitan, bukannya acara berskala besar. Apa yang penting, persiapan SUKMA tetap diteruskan bagi memastikan temasya ini berlangsung dengan jayanya," tambahnya.

EXCO Belia, Sukan & Keusahawanan Mohd Najwan Hakimi bergambar bersama maskot di Majlis Pelancaran Lagu Dan Nama Maskot Sempena Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 dan Larian Obor Peringkat Majlis Perbandaran Kuala Selangor di Dataran Malawati Kuala Selangor pada 6 Jun 2026.Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

SUKMA kali ini adalah temasya sukan terbesar negara kedua terakhir sebelum Kelantan pada 2028. Selangor yang menjadi tuan rumah menetapkan sasaran 80 pingat emas pada kali ini.

Untuk rekod, Selangor dilantik sebagai tuan rumah SUKMA 2026 pada 2024, dengan pengumuman dibuat Dato’ Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari, pada 22 Julai 2025.

Menteri Persekutuan bertanggungjawab ketika itu adalah Hannah Yeoh yang kini menjadi menteri Wilayah Persekutuan, tugas menteri belia dan sukan kini digalas Dr. Mohammed Taufiq Johari sejak Disember 2025.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.