Kadar jenayah Selangor menurun, kerjasama masyarakat jadi pemangkin

5 Ogos 2026, 12:06 PM
Kadar jenayah Selangor menurun, kerjasama masyarakat jadi pemangkin
Kadar jenayah Selangor menurun, kerjasama masyarakat jadi pemangkin
Kadar jenayah Selangor menurun, kerjasama masyarakat jadi pemangkin

SHAH ALAM, 5 OGOS: Kadar jenayah di Selangor mencatatkan trend penurunan sepanjang tahun ini hasil kerjasama berterusan antara masyarakat, agensi kerajaan, pihak swasta dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata perkongsian maklumat serta kerjasama erat bersama masyarakat menjadi antara faktor penting dalam memastikan usaha pencegahan dan pembanterasan jenayah dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Beliau berkata bagi daerah Kajang, kadar jenayah terus menunjukkan penurunan manakala kadar pertuduhan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang berada pada tahap memberangsangkan.

Menurutnya, pencapaian itu adalah hasil penguatkuasaan berterusan yang dilaksanakan polis dengan sokongan masyarakat setempat.

“Bagi daerah Kajang, kadar jenayah mencatatkan penurunan manakala kadar pertuduhan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang berada pada tahap memberangsangkan hasil penguatkuasaan berterusan dan kerjasama masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Townhall Discussion Polis Kontinjen Selangor 2026 di Dewan Panggung Seni, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi hari ini.

Shazeli berkata indikator kadar pertuduhan juga penting dalam menilai keberkesanan tindakan penguatkuasaan pihak polis, khususnya bagi memastikan setiap kes yang disiasat dapat diselesaikan dan dibawa ke mahkamah.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan masih terdapat beberapa isu keselamatan yang memerlukan perhatian berterusan termasuk kegiatan lumba haram dan mat rempit, penyalahgunaan dadah serta isu pendatang asing tanpa izin (PATI).

Sehubungan itu, Shazeli menyeru masyarakat supaya terus menyalurkan maklumat, aduan dan permasalahan setempat kepada pihak polis bagi membantu mengekalkan keamanan serta kesejahteraan komuniti.

Beliau turut menegaskan komitmen PDRM Selangor untuk terus memperkukuh hubungan strategik bersama masyarakat selaras dengan tema 'Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada' bagi mewujudkan persekitaran yang lebih selamat, aman dan sejahtera.

Program Townhall Discussion itu menjadi platform kepada PDRM Selangor untuk mendengar pandangan, aduan serta permasalahan masyarakat berkaitan isu keselamatan dan ketenteraman awam.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.