Ops Pintas Som bongkar sindiket penyeludupan migran, 36 individu ditahan

3 Nov 2026, 4:29 AM
Ops Pintas Som bongkar sindiket penyeludupan migran, 36 individu ditahan

SHAH ALAM, 3 NOV: Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor menerusi Cawangan Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) berjaya membongkar kegiatan penyeludupan migran menerusi pelaksanaan Ops Pintas Som di sekitar daerah Sabak Bernam, semalam.

PDRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan hasil serbuan di tiga lokasi berasingan itu membawa kepada penahanan 36 individu, termasuk 25 migran warga Indonesia dan dua kanak-kanak serta individu yang dipercayai terlibat sebagai transporter.

“Siasatan awal mendapati sindiket dipercayai menjalankan kegiatan penyeludupan migran masuk dan keluar Malaysia melalui laluan yang tidak diwartakan dengan kadar bayaran antara RM1,500 hingga RM1,800 setiap seorang manakala kadar transporter bermula RM500 bagi perjalanan ke lokasi di Lembah Klang, bergantung pada jarak perjalanan.

“Dalam operasi sama, pihak polis turut merampas 11 kenderaan dan 13 unit telefon bimbit serta wang tunai berjumlah RM4,930 yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan berkenaan,” menurut kenyataan itu.

PDRM memaklumkan kejayaan itu dicapai menerusi operasi yang dijalankan selama dua hari bermula 1 November membabitkan kerjasama Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU), Pasukan Polis Marin serta anggota Cawangan D6.

Kes disiasat di bawah Seksyen 26A dan Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Dalam pada itu, PDRM memaklumkan pihaknya akan meneruskan siasatan bagi mengenal pasti rangkaian sindiket, termasuk pihak yang berperanan sebagai pengendali dan penyelaras aktiviti penyeludupan migran ini.

“PDRM akan meneruskan komitmen mempergiat tindakan penguatkuasaan dan membanteras kegiatan penyeludupan migran yang menggunakan laluan tidak diwartakan demi memastikan keselamatan serta kedaulatan sempadan negara terus terpelihara,” menurut kenyataan itu.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.