SUKMA 2026: Walau kos berkurang, standard pertandingan dan kebajikan atlet kekal terpelihara

5 Ogos 2026, 6:14 AM
SUKMA 2026: Walau kos berkurang, standard pertandingan dan kebajikan atlet kekal terpelihara
SUKMA 2026: Walau kos berkurang, standard pertandingan dan kebajikan atlet kekal terpelihara

SHAH ALAM, 5 OGOS: Langkah kerajaan negeri mengurangkan kos penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA 2026 kepada RM50 juta berbanding anggaran asal melebihi RM203 juta tidak menjejaskan standard pertandingan mahupun kebajikan atlet.

EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Mohd Najwan Halimi berkata penjimatan itu dicapai menerusi langkah penjimatan kos yang diperkenankan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Menurutnya, pengurangan perbelanjaan dapat dilaksanakan kerana tumpuan diberikan kepada keperluan asas penganjuran seperti tempat pertandingan, bukannya acara berskala besar.

"Perbelanjaan kita hanya tertumpu kepada gelanggang permainan tanpa menjejaskan standard pertandingan bagi setiap acara dan kebajikan atlet," katanya pada sesi soal jawab Sidang Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Najwan berkata majlis pembukaan rasmi SUKMA juga akan diadakan secara sederhana dengan hanya melibatkan perarakan kontinjen di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam pada 15 Ogos.

Beliau memaklumkan kos penganjuran sebanyak RM50 juta ditanggung sepenuhnya kerajaan negeri, manakala penajaan yang diterima setakat ini mencecah hampir RM8 juta.

Pada masa sama, beliau sekali lagi menegaskan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak menyalurkan sebarang peruntukan bagi penganjuran temasya sukan dwitahunan itu.

"Kerajaan Persekutuan melalui KBS tidak menyalurkan sebarang dana untuk penganjuran SUKMA kali ini," katanya.

Beliau berkata perbelanjaan kerajaan negeri meliputi penyediaan peralatan teknikal, sistem pengurusan pertandingan, penginapan, makanan dan subsidi kontinjen serta operasi Sekretariat SUKMA.

Sementara itu, pihak berkuasa tempatan (PBT) memperuntukkan antara RM50 juta hingga RM70 juta bagi menaik taraf kemudahan sukan sedia ada di seluruh Selangor sebagai persediaan menghadapi temasya berkenaan.

Antara projek yang dilaksanakan ialah kerja baik pulih Pusat Akuatik Shah Alam serta naik taraf Lapang Sasar Menembak Subang.

Menurut Najwan, kedua-dua kemudahan itu akan dibuka kepada orang awam selepas SUKMA, dengan Pusat Akuatik Shah Alam dijadual mula beroperasi pada Oktober ini.

"Tiada isu kita membina kemudahan baharu untuk SUKMA. Kita tidak membina sebarang fasiliti baharu menggunakan dana kerajaan negeri.

"Apa yang kita lakukan ialah menaik taraf fasiliti sedia ada bagi tujuan penganjuran SUKMA dan selepas itu ia akan dimanfaatkan oleh rakyat Selangor," katanya.

Beliau berkata pendekatan sama turut dilaksanakan terhadap kemudahan yang dinaik taraf oleh PBT, yang akan dibuka untuk kegunaan komuniti selepas temasya berakhir.

Katanya, usaha menaik taraf kemudahan itu bertujuan meninggalkan legasi jangka panjang kepada rakyat, bukannya membina fasiliti yang hanya digunakan sepanjang penganjuran SUKMA.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.