SHAH ALAM, 5 OGOS: Kerajaan Negeri sedang bekerjasama dengan Prasarana Malaysia Berhad dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bagi memperkukuh kesalinghubungan pengangkutan awam untuk perjalanan pertama dan terakhir (first-mile dan last-mile), khususnya di kawasan pesat membangun seperti Semenyih.
EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Ng Sze Han berkata, perbincangan sedang dijalankan dengan KTMB bagi mengembalikan perkhidmatan Bas Smart Selangor di Stesen KTM Bangi selepas kerja naik taraf Projek Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa 2 (KVDT2) selesai tahun depan.
"Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama dengan penyedia pengangkutan awam utama seperti Prasarana dan KTMB supaya penduduk Semenyih dapat menikmati sistem pengangkutan awam yang lebih selesa dan cekap," katanya ketika sesi soal jawab pada Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Semenyih, Nushi Mahfodz, mengenai usaha menambah baik perkhidmatan pengangkutan awam di kawasan itu.
Sze Han berkata, walaupun Semenyih mempunyai akses ke Laluan MRT Kajang dan Stesen KTM Komuter Bangi, kedua-dua stesen itu terletak kira-kira 10 hingga 12 kilometer dari kawasan perumahan, sekali gus menyukarkan penduduk menggunakan perkhidmatan berkenaan.
Bagi mengatasi isu itu, kawasan tersebut kini dilengkapi beberapa perkhidmatan pengangkutan awam termasuk bas pengantara Rapid Bus laluan T450 dan T460, Bas Smart Selangor laluan KJ02 yang menghubungkan Stesen KTM Bangi dengan Bandar Bukit Mahkota serta Rapid On-Demand yang meliputi Bandar Tasik Kesuma, Bandar Rinching, Stesen KTM Bangi dan Sungai Jernih.
Sze Han berkata, laluan Bas Smart Selangor ditentukan berdasarkan beberapa kriteria, antaranya meliputi kawasan perumahan kos sederhana dan rendah, lokasi yang mempunyai permintaan tinggi terhadap pengangkutan awam serta kawasan berhampiran hospital, klinik, pusat komersial, institusi pendidikan dan hab pengangkutan utama.
Menjawab soalan tambahan mengenai cadangan memperluas laluan bas ke kawasan perumahan baharu serta meningkatkan hubungan antara Stesen MRT Kajang dan kawasan sekitarnya sepanjang tempoh kerja KVDT2, beliau berkata Kerajaan Negeri akan meneliti cadangan berkenaan.
"Kerajaan Negeri bersama Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Prasarana dan penyedia pengangkutan awam lain akan berbincang bagi menilai keperluan menambah kemudahan pengangkutan awam di Semenyih yang kini berkembang pesat," katanya.
Dalam perkembangan lain, Sze Han berkata Selangor turut menyemak semula pendekatan perancangan pengangkutan negeri dengan beralih daripada kaedah konvensional yang lebih tertumpu kepada penggunaan kereta.
Beliau berkata, perancangan pengangkutan sebelum ini banyak bergantung kepada Penilaian Impak Trafik (Traffic Impact Assessment, TIA), namun kini Kerajaan Negeri bercadang menggunakan pendekatan kebolehcapaian pelbagai mod pengangkutan (multimodal accessibility).
Melalui pendekatan itu, masa perjalanan akan dinilai menggunakan pelbagai mod pengangkutan seperti kereta persendirian, bas, rel, mikromobiliti dan berjalan kaki bagi membantu menghasilkan perancangan pengangkutan yang lebih berkesan.
"Saya percaya sudah tiba masanya untuk kita menyemak semula garis panduan sedia ada," katanya.







