KLANG, 28 JUN: Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) menyasarkan kira-kira 67,000 penumpang menggunakan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam setiap hari pada tahun pertama operasinya.
Pengerusi Kumpulan Prasarana Tan Sri Mohd Nasir Ahmad berkata jumlah itu dijangka meningkat kepada lebih 117,000 perjalanan sehari dalam tempoh lima tahun selaras pertambahan penggunaan pengangkutan awam.
Beliau berkata sasaran berkenaan mencerminkan keyakinan Prasarana bahawa Laluan Shah Alam akan menjadi pilihan utama rakyat untuk perjalanan harian.
“Sasaran ini mencerminkan keyakinan kami bahawa Laluan Shah Alam ini akan menjadi pilihan utama rakyat untuk perjalanan harian, sekali gus membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas, mempercepatkan masa perjalanan serta menyokong agenda negara ke arah mobiliti rendah karbon.
“Dengan pembukaan Laluan Shah Alam ini juga, Prasarana kini mengendalikan 169 stesen rel transit merangkumi jumlah jajaran sepanjang 242.5 kilometer,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran LRT3 di Depoh Johan Setia di sini hari ini.
Mohd Nasir berkata, LRT3 merupakan pelaburan strategik negara yang akan mengubah landskap mobiliti di koridor barat Lembah Klang serta memperkukuh daya saing ekonomi negara untuk jangka panjang.
“Pembukaan 20 stesen baharu di sepanjang Laluan Shah Alam sejauh 37.8 kilometer, yang menghubungkan Bandar Utama hingga Johan Setia, bakal memperkukuh kesalinghubungan serta menghubungkan pusat pertumbuhan utama seperti Bandar Utama, Shah Alam dan Klang,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menaiki tren LRT3 dari Stesen Seri Andalas ke Stesen Johan Setia, yang mengambil masa kira-kira 15 minit, sebelum menyempurnakan majlis pelancaran di Depoh.
Turut hadir Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari.
Dalam pada itu, Anwar turut mengumumkan orang ramai boleh menggunakan perkhidmatan LRT3 Laluan Shah Alam dan bas perantaranya secara percuma selama sebulan bermula esok sempena pembukaan rasmi laluan baharu itu.









