KLANG, 28 JUN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa tanah milik Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) yang terletak berhampiran stesen pengangkutan awam dimanfaatkan bagi pembangunan perumahan rakyat menerusi konsep Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD).
Beliau turut menekankan agar kemudahan parkir yang mencukupi serta ruang niaga kepada usahawan kecil dan sederhana disediakan di stesen pengangkutan awam seperti Transit Aliran Ringan (LRT) dan Transit Aliran Berkapasiti Tinggi (MRT).
Menurutnya, pendekatan itu bukan sahaja mampu mengurangkan kos perjalanan rakyat serta menggalakkan penggunaan pengangkutan awam, malah berpotensi menjana pulangan komersial yang lebih baik.
“Saya tidak kata perumahan mewah patut diberi tumpuan di sini, tetapi perumahan rakyat dan tentunya kedai serta gerai untuk usahawan kecil dan sederhana dapat ditempatkan di situ untuk menambah nilai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran LRT3 Laluan Shah Alam di Depoh Johan Setia, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Anwar berkata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, telah diamanahkan untuk mempercepat pembangunan tanah milik Prasarana yang luas, khususnya di lokasi strategik di bandar, supaya aset tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya demi kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata, kerjasama erat antara Kementerian Pengangkutan, Prasarana, Kementerian Kewangan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan perlu diperkukuh bagi mempercepat pelaksanaan projek berkenaan.
“Jadi, saya minta Ketua Setiausaha, Prasarana, Menteri Besar Selangor dan Datuk Bandar Shah Alam memberikan kerjasama supaya perkara ini dapat dilaksanakan dengan segera,” katanya.
Anwar berkata pembangunan perumahan rakyat di kawasan berhampiran stesen pengangkutan awam perlu dijadikan keutamaan memandangkan golongan berpendapatan rendah semakin sukar memiliki kediaman tanpa campur tangan dan sokongan kerajaan.
Beliau turut mahu pembangunan tanah milik Prasarana menjadi contoh bagaimana sesuatu projek boleh diluluskan dan dilaksanakan secara cekap serta pantas, dengan sasaran projek perumahan rakyat di sekitar Shah Alam disiapkan dalam tempoh dua hingga tiga tahun.
Sementara itu, Anthony berkata kementeriannya akan meneliti potensi pembangunan di kawasan parkir dan menunggang (park and ride) yang mempunyai keluasan tanah yang besar, termasuk mempertimbangkan pembinaan perumahan mampu milik bagi mengoptimumkan penggunaan aset sedia ada.
Menurutnya, tanah milik agensi berkaitan pengangkutan awam tidak seharusnya dibiarkan tanpa pembangunan yang memberi pulangan kepada rakyat, sebaliknya perlu dimanfaatkan secara lebih produktif.
“Pada masa sama, kita perlu memperbanyakkan pembangunan berorientasikan transit supaya kawasan sekitar stesen pengangkutan awam dapat dimanfaatkan secara optimum, sekali gus menggalakkan lebih ramai rakyat menggunakan pengangkutan awam,” katanya.








