Sindiket dadah Malaysia-Thailand tumpas, 252kg methamphetamine dirampas

1 Sep 2026, 8:00 AM
Sindiket dadah Malaysia-Thailand tumpas, 252kg methamphetamine dirampas

SHAH ALAM, 1 SEPT: Sindiket pengedaran dadah rentas sempadan Malaysia-Thailand tumpas selepas polis merampas keseluruhan 252.2 kilogram methamphetamine menerusi operasi bersama pihak berkuasa kedua-dua negara.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Dennis Lim berkata kejayaan itu hasil perkongsian risikan antara Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Biro Pembanterasan Narkotik Polis Thailand (PNSB).

Menurutnya, operasi bermula selepas Polis Daerah Hua Hin, Thailand menahan seorang lelaki Malaysia dalam sekatan jalan raya pada 8 Ogos lalu.

Pemeriksaan terhadap BMW dipandunya menemukan 166kg methamphetamine sebelum kes diserahkan kepada PNSB untuk siasatan lanjut, lapor Sinar Harian.

“Hasil siasatan membawa kepada perkongsian maklumat dengan JSJN Bukit Aman mengenai ahli sindiket yang dipercayai menggunakan kenderaan untuk membawa dan menyembunyikan dadah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, hari ini.

Susulan maklumat itu, JSJN melancarkan Op Zoraptera di Selangor dan Pulau Pinang sebelum menemukan 83 bungkusan methamphetamine seberat 86.2kg dalam sebuah Nissan Teana di parkir hotel di Butterworth.

Tiga siri serbuan turut membawa kepada penahanan empat suspek, terdiri daripada tiga lelaki tempatan dan seorang wanita Thailand berusia 19 hingga 25 tahun.

Dennis berkata sindiket berkenaan mengubah suai struktur kenderaan dengan menyediakan ruang khas tersembunyi untuk menyimpan dan mengangkut dadah.

Siasatan mendapati rangkaian itu aktif sejak Jun lalu dan dipercayai membawa dadah dari Thailand ke Malaysia kira-kira sekali sebulan sebelum bekalan diedarkan ke pasaran tempatan serta luar negara.

“Mereka dipercayai bertindak sebagai ‘transporter’ dan menerima bayaran kira-kira RM6,000 bagi setiap tugasan,” katanya.

Polis percaya dalang sindiket berada di Thailand, manakala semua suspek yang ditahan di Malaysia tidak mempunyai pekerjaan.

Ujian air kencing mendapati seorang suspek positif ketamin, manakala kesemua mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Polis turut menyita lima kenderaan bernilai RM420,700 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

Nilai dadah yang dirampas di Malaysia dianggarkan RM4.31 juta, manakala keseluruhan rampasan dan sitaan dalam operasi itu mencecah RM4.73 juta.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menurut Dennis, jumlah dadah dirampas dianggarkan mampu merosakkan kira-kira 430,000 orang.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.