KUALA LUMPUR, 4 OGOS: Kementerian Luar sentiasa memantau dan mengemas kini keberadaan 21,427 rakyat Malaysia di 14 negara terjejas konflik sebagai persediaan melaksanakan operasi evakuasi sekiranya keadaan keselamatan meruncing.
Timbalan Menteri Luar Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata pengalaman mengendalikan konflik sebelum ini membantu kerajaan memperkukuh kesiapsiagaan.
“Kita mempunyai pelan komprehensif bagi menghadapi situasi itu,” katanya menjawab soalan tambahan Senator Musoddak Ahmad mengenai pelan kontingensi kerajaan serta syarikat penerbangan jika konflik geopolitik berlarutan, selain kesiapsiagaan membantu penuntut Malaysia pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata pelan itu diselaraskan bersama-sama kementerian dan agensi berkaitan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi pelancongan, pengendali umrah, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta syarikat penerbangan yang boleh menyediakan penerbangan sewa khas.
Lukanisman berkata Petroliam Nasional Bhd (Petronas) pula mempunyai pelan tersendiri untuk membawa keluar pekerjanya.
Menjawab soalan asal Musoddak mengenai pelan melindungi rakyat Malaysia di Timur Tengah termasuk jemaah umrah, Lukanisman berkata semua perwakilan diplomatik Malaysia mempunyai pelan kontingensi yang sentiasa dikemas kini merangkumi pemetaan lokasi rakyat Malaysia, mekanisme komunikasi, penyelarasan sumber dan strategi evakuasi.
“Pelan ini menjadi panduan operasi kepada pegawai bagi memastikan bantuan dan evakuasi dapat dilaksanakan secara teratur dan berkesan. Pelan ini akan digerakkan mengikut keperluan semasa berdasarkan tahap risiko, perkembangan keselamatan setempat serta jumlah rakyat Malaysia yang terjejas,” katanya.
Lukanisman berkata rakyat Malaysia yang berada di luar negara atau merancang melakukan lawatan sosial digalakkan mendaftarkan keberadaan mereka dengan pejabat perwakilan menerusi e-mel, panggilan telefon atau sistem e-Konsular serta menggunakan aplikasi MyWorldAlert bagi mendapatkan maklumat dan bantuan kecemasan.
Beliau berkata sejak konflik di Asia Barat tercetus awal tahun ini, Kementerian Luar telah mengeluarkan tiga nasihat perjalanan manakala hampir semua ruang udara di rantau itu kini kembali dibuka selepas keadaan keselamatan beransur pulih susulan pengumuman gencatan senjata pada 8 April.







