Malaysia kecam serangan di Arab Saudi, gesa penyelesaian aman

11 Okt 2026, 11:00 AM
Malaysia kecam serangan di Arab Saudi, gesa penyelesaian aman

KUALA LUMPUR, 11 OKT: Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan yang menyasarkan orang awam dan infrastruktur awam di Arab Saudi pada Sabtu (10 Okt), yang mengakibatkan kehilangan nyawa, kecederaan serta gangguan ketara terhadap operasi lapangan terbang dan penerbangan komersial.

Kementerian Luar dalam kenyataan pada Ahad menzahirkan solidariti Malaysia bersama Kerajaan Arab Saudi serta sokongan terhadap usaha negara itu untuk mempertahankan kedaulatan, keutuhan wilayah dan keselamatan negara.

"Malaysia amat bimbang terhadap peningkatan ketegangan dan keganasan sejak kebelakangan ini serta menggesa semua pihak agar menghormati undang-undang antarabangsa dan mencari penyelesaian secara aman melalui dialog dan diplomasi demi mengembalikan keamanan, keselamatan dan kestabilan yang berkekalan di rantau tersebut," menurut kenyataan itu.

Kementerian itu turut merakamkan ucapan takziah dan bersimpati atas kehilangan nyawa dalam insiden berkenaan serta mendoakan agar mereka yang cedera segera sembuh.

Dalam kenyataan pada Ahad, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Arab Saudi berkata 12 orang terbunuh dan 309 lagi cedera dalam serangan pada Sabtu di Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid.

Mereka yang terkorban ialah empat warga Arab Saudi, dua warga Bangladesh serta masing-masing seorang warga Amerika Syarikat, Mesir, Jordan, Syria, Palestin dan Sudan.

Terdahulu, Kementerian Luar Malaysia memaklumkan tiada rakyat Malaysia menjadi mangsa susulan serangan pada Sabtu terhadap Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh serta insiden projektil jatuh berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa King Fahd di Dammam.

-- BERNAMA

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.